KECUAIAN seorang pemandu wanita menukar lorong secara tiba-tiba mengundang padah apabila dirempuh sebuah treler di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), pada Khamis.
Menerusi video berdurasi satu minit itu, lori treler terbabit tidak sempat untuk menekan brek lalu merempuh Perodua Myvi yang secara tiba-tiba mengubah laluan daripada lorong kanan terus ke lorong kiri untuk ke susur Persiaran Kewajipan, Subang, Selangor.
Selepas pelanggaran tersebut, lori treler terbabit dilihat terbalik manakala kereta Myvi itu pula kemudiannya melanggar beberapa buah kenderaan lain yang sedang beratur di tempat kejadian.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada pukul 8.15 pagi membabitkan beberapa buah kenderaan termasuk dua buah Nissan Almera, masing-masing sebuah Honda CRV, Proton x70, Mitsubishi Lancer, lori Hino dan treler.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu lori treler berkenaan tidak sempat untuk memperlahankan kenderaannya, apabila Perodua Myvi berwarna kelabu tersebut menukar lorong secara tiba-tiba.
“Dia tiba-tiba memasuki lorong kiri untuk ke susur Persiaran Kewajipan dan menyebabkan sebuah treler tidak sempat menekan brek, lalu merempuh kereta itu dan menyebabkannya terbalik.
“Perodua Myvi berkenaan kemudian melanggar beberapa kenderaan yang beratur di susur Persiaran Kewajipan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, pemandu kereta Perodua Myvi itu hanya mengalami cedera ringan dan pemandu kenderaan lain dilapor tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan cuai dan tidak cermat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram