[VIDEO] Bata 'terbang' dari lori sampah di lebuh raya, pemandu kereta nyaris jadi mangsa dekat Bestari Jaya


  • Tular
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan sebuah kenderaan hampir kemalangan selepas seketul batu bata jatuh dari belakang lori sampah.

SEORANG pemandu nyaris menjadi mangsa kemalangan apabila dipercayai seketul batu bata jatuh dari belakang lori sampah di Bestari Jaya, Selangor pada Isnin.

Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna media sosial di Facebook, pemandu berkenaan dilihat memandu laju di lorong kanan sebelum menukar ke lorong tengah.

Mangsa yang dilihat memandu di lorong kanan dengan kelajuan 113 kilometer (km) itu mula menukar arah ke lorong tengah.

Berdasarkan video berdurasi satu minit, selepas beberapa saat terdapat sebuah lori sampah di hadapan kereta terbabit yang memandu di lorong sebelah kiri.

Namun secara tiba-tiba lori sampah itu dipercayai menekan brek lalu mengakibatkan seketul batu bata jatuh dan hampir mengenai kereta pemandu itu.

Ketika kejadian mangsa dilihat sempat mengelak daripada terkena objek berkenaan dan memandu meninggalkan lori sampah terbabit.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai mengatakan mungkin disebabkan lori terlebih muatan yang menyebabkan bata itu terkeluar dari kenderaan terbabit.

"Mungkin sebab bawa lebih muatan ini, tolong jangan kecam dia," ujar Lee Jord.

"Dekat mana ini tolong tag Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan letak nombor plat sekali," jelas Anuar Hussin Din.

"Batu itu mungkin tersepit di antara tayar double itu, bila Jalan batu terkeluar dari celah tayar," kata Zulfiarman Ali Amran.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram