[VIDEO] Tangki air pecah di Taman Mas bukan kali pertama, tragedi 6 tahun lalu berulang lebih dahsyat


  • Tular
  • Jumaat, 28 Okt 2022

Tangkap layar video kejadian 'air terjun' dipercayai akibat tangki pecah dari tingkat atas sebuah pangsapuri di Taman Mas, Puchong pada Khamis.

TULAR satu video kejadian 'air terjun' dipercayai akibat berpunca tangki air pecah di sebuah pangsapuri di Taman Mas, Puchong, Selangor pada Khamis.

Berdasarkan video berdurasi 3 minit 59 saat itu menunjukkan beberapa kenderaan yang di parkir di pekarangan bangunan berkenaan terkena curahan air deras terbabit.

Bagaimanapun, video rakaman menunjukkan kejadian kembali reda kira-kira dua minit kemudian dan orang ramai mula berkumpul di kawasan terbabit.

Kejadian tersebut mengakibatkan enam kenderaan rosak teruk dengan cermin hadapan mereka pecah dan bahagian bonet yang kemek.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serpihan tangki air yang jatuh terkena kenderaan di bawah blok apartment terbabit.

Kejadian itu bagaimanapun, tidak melibatkan kemalangan jiwa, sebaliknya hanya kerosakan harta benda dan mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi tuntutan insurans, katanya.

"Bantuan lori air bersih dihantar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk bekalan air bersih kepada 172 rumah yang terjejas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menerusi tinjaun Majoriti di ruangan komen seorang wanita berkongsi pernah melalui pengalaman tragedi yang sama pada 2016 di pangsapuri terbabit.

"Dulu pernah menyewa penaga Mas blok A sekitar 2016, rumah di tingkat sembilan memang tepi tangki.

"Sama juga kes tangki pecah habis barang dalam rumah rosak, banjir tak perlu ceritalah dengan masa itu dalam pantang.

"Fobia dengar tangki pecah, pihak pengurusan masa itu tengah huru hara, lepas kejadian itu cepat-cepat pindah," kata wanita terbabit.

Manakala ada juga individu dipercayai penduduk yang meninggalkan komen menjelaskan situasi selepas kejadian terbabit.

"Alhamdulillah selepas kejadian mujur ramai yang membantu mangsa," kata Mikhail Sobri.

"Nak buat macam mana, lima buah kereta pecah cermin, kemek bumbung kereta pun ada, ini air dengan tiga atau empat hari tak ada pula," luah seorang lagi pengguna Facebook.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram