[VIDEO] Tersalah pilih mangsa, geng jaguh kampung di Gombak lari lintang pukang 'dikejar' kereta peronda


  • Tular
  • Ahad, 23 Okt 2022

Tangkap layar video kumpulan lelaki itu berlari dengan laju meninggalkan tempat kejadian apabila kereta polis memasang lampu siren dan mengundurkan kenderaannya..

NASIB sekumpulan lelaki bertukar malang apabila tindakan mereka menganggu pengguna jalan raya bukan calang-calang apabila ia melibatkan sebuah kenderaan peronda polis pada Sabtu.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Taman Sri Gombak di Facebook, kelihatan sekumpulan pemuda pada mulanya seperti sedang menunggu mangsa untuk diganggu di kawasan kejadian.

Namun selepas menunggu beberapa ketika, terdapat pantulan cahaya lampu kereta semakin menghampiri mereka sekali gus membuatkan mereka berasa teruja untuk meneruskan perbuatan terbabit.

Berdasarkan video berdurasi 27 saat itu, sebaik sahaja kenderaan terbabit hampir tiba ke arah kumpulan itu, seorang lelaki kelihatan berdiri di tepi jalan dan menghayunkan sesuatu yang dipegang tetapi tidak dapat dipastikan barangan itu.

Bagaimanapun tiba-tiba mereka terkejut dan tergamam seketika kerana kenderaan yang diganggu tersebut ialah kereta peronda polis.

Tanpa membuang masa kumpulan lelaki itu dilihat berlari lintang pukang meninggalkan tempat kejadian kerana kereta polis terbabit memasang lampu siren dan mengundurkan kenderaan untuk ke lokasi kejadian.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gombak, Selangor.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai tercuit hati dengan gelagat sekumpulan lelaki terbabit yang kelam kabut melarikan diri.

"Lain macam bosan korang ini, ini nama dia mencari nahas," kata Emylynn Shakira.

"Kalau dapat itu, menangis kau orang semua merayu dekat situ," ujar Muhammad Hafifi Elvis.

"Lari tak cukup tanah, siapa suruh kacau orang tengah bawa kereta lagi," luah Am Syidu.

"Bila dah takut, lari pun tak ingat bahaya dah, kalau parit besar pun boleh lepas," jelas Masjid Kariah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram