SATU rakaman ngeri menunjukkan detik seorang pemilik kedai ditembak dan dibunuh ketika mengendong bayinya di Colombia baru-baru ini.
Namun, keadaan kanak-kanak itu tidak dapat dipastikan ketika ini sejurus selepas bapanya mati ditembak penjenayah terbabit.
“Satu jenayah kejam. Pembunuhan Melvin Roman Castro, 36, yang berlaku di Luruaco, Colombia pada Sabtu lalu, (29 Oktober).
"Kejadian itu berjaya dirakam kamera keselamatan premis tersebut yang dikenali dengan nama Tienda El Porvenir," lapor USA Crime pada Jumaat.
Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai pembunuh upahan memasuki kedai itu, mengeluarkan senjata api sebelum menembak mangsa tanpa mempedulikan ada bayi dalam pelukannya.
Dalam video berdurasi satu minit dan tujuh saat itu, mangsa rebah selepas ditembak meskipun masih mengendong bayinya.
Penjenayah bertopi dan berbaju putih itu kemudiannya melepaskan tembakan sekali lagi dan melarikan diri dari tempat kejadian.
Di luar tempat kejadian, seorang lelaki lain menunggu suspek dengan motosikal sebelum meninggalkan kenderaan berhampiran lokasi jenayah.
Sementara itu, Polis Atlantik berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada badan sekali gus mati di tempat kejadian.
Siasatan lanjut juga dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram