
PENDUDUK Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor menggesa pihak berwajib menaik taraf dinding penghalang bunyi di antara kawasan perumahan dengan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Perkara tersebut turut sudah disuarakan oleh penduduk setempat kepada syarikat konsesi lebuh raya Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak).
Kira-kira 70 rumah terjejas terutamanya kediaman yang terletak hanya 30 meter dari LDP.
Menurut seorang penduduk, Dr Vicky Ayadurai, 60, keadaan berubah menjadi semakin buruk sejak peningkatan aliran trafik beberapa tahun lalu.
"Bayangkan kami perlu bersabar dengan bunyi bising berterusan. Ia menjejaskan rutin harian kita.
"Mengganggu ketenteraman kejiranan dan ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk dan Pemilik Damansara Utama (Duroa), Habeeb Rahman memberitahu, bunyi bising yang terhasil sudah melebihi garis panduan Jabatan Alam Sekitar.
“Kami mahu penghalang bunyi yang terletak di sepanjang Jalan SS21/42 dan SS21/44 dinaik taraf.
"Sama ada menaikkan ketinggian penghalang bunyi atau menggunakan bahan yang lebih baik," jelasnya.
Habeeb menambah, Duroa turut pernah memaklumkan kepada Litrak pada Mac lalu mengenai perkara itu.
Pada masa sama, kedua-duanya turut tidak menolak bunyi bising tersebut turut dipengaruhi oleh Mass Rapid Transit (MRT) di kawasan berhampiran. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram