Terperangkap selepas curi RM25, lelaki berambut biru tertidur di bilik guru sebelum dikejutkan polis


  • Benua
  • Rabu, 02 Nov 2022

Pencuri yang tertidur terpaksa dikejut polis sebelum ditahan.

SEORANG lelaki ditangkap ketika sedang lena tidur di kawasan bilik guru sebuah sekolah yang dipecah masuk untuk mencuri.

Kejadian berlaku di Tunjungan Blora, Indonesia pada Isnin dan suspek langsung tidak menyedari kehadiran polis sehinggalah dia dikejutkan untuk bangun.

Ketua Polis Tunjungan, Soeparlan berkata, suspek yang berusia 20 tahun dan berasal dari Jawa Timur itu tertidur selepas mengambil sejumlah wang di bilik guru tersebut.

"Suspek memecah masuk ke bilik guru itu menerusi bumbung sebelum mengambil wang berjumlah kira-kira RM25.

"Namun suspek tidak boleh keluar yang membuatkan dia mengambil keputusan untuk melelapkan mata.

"Ketika kami datang untuk menahannya, dia masih lagi tidur. Kami yang mengejutnya bangun dan suspek memberitahu dia tidak boleh keluar dari kawasan itu," katanya.

Hasil semakan mendapati suspek yang berambut biru itu pernah terlibat dengan kes mencuri wang di sebuah warung.

Tambahnya, walaupun suspek hanya mencuri sejumlah wang yang kecil, dia tetap ditahan atas tindakannya menceroboh kawasan sekolah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram