PENYANDANG Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika majlis pengumuman calon BN pada Selasa malam.
Menerusi hantaran di laman Twitter, Khairy menzahirkan rasa syukur atas pencalonannya di kerusi Parlimen baharu itu.
Tangkap layar hantaran di laman Twitter Khairy berhubung pencalonannya di Parlimen Sungai Buloh.
"Walaupun cabaran besar, saya akan buat yang terbaik untuk jumpa dan meyakinkan seramai mungkin pengundi Sungai Buloh untuk memberi peluang kepada saya," katanya.
Sementara itu, kerusi Parlimen Rembau bakal ditandingi Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pada masa sama, majlis itu turut mengumumkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai taruhan di Kuala Selangor.
Kawasan itu sebelum ini disandang wakil Amanah, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad yang bakal mempertahankan kerusi tersebut ketika pilihan raya kali ini.
Selain itu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bakal bertanding di Parlimen Kota Tinggi selepas tiga penggal mempertahankan Parlimen Pasir Gudang.
Tempat Naib Presiden Umno di Pasir Gudang itu pula akan diambil alih calon muka baharu yang juga Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros.
Khaled Nordin
Ahli Dewan Undangan (Adun) Peramu Jaya, Datuk Seri SH Mohamed Puzi Sh Ali pula menggantikan bekas Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan.
Berikut adalah senarai penuh calon BN yang bertanding pada PRU15. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram