[VIDEO] Padah potong 'double line', tak pasal-pasal Myvi-Honda 'bercium' di P.Pinang


  • Tular
  • Isnin, 31 Okt 2022

Tangkap layar video ketika Perodua Myvi melanggar Honda City di Terowong Udini, Jelutong pada awal pagi Isnin.

PEMATUHAN terhadap peraturan jalan raya sangat penting demi keselamatan bukan sahaja kepada seseorang pemandu, malah ia bertujuan mengelakkan kemalangan berlaku kepada pengguna lain.

Meskipun seseorang pemandu sudah pun menggunakan jalan raya secara berhemat, namun nahas tetap berlaku akibat sikap cuai dan terburu-buru orang lain.

Perkara ini berlaku kepada sebuah kereta Honda City yang terlibat dengan kemalangan ketika melalui Terowong Udini, dekat Jelutong, Pulau Pinang pada awal pagi Isnin.

Menerusi rakaman kamera perakam video (dashcam) berdurasi 19 saat itu, pemandu Honda City tersebut pada mulanya dilihat memandu secara normal dan mematuhi peraturan jalan raya.

Namun, pada saat kesembilan, rakaman memaparkan, kereta tersebut secara tiba-tiba dilanggar oleh sebuah kereta Perodua Myvi dari arah depan.

Difahamkan, Perodua Myvi yang sinonim dengan jolokan 'King' itu cuba memotong kereta yang berada di hadapannya menggunakan garisan berkembar.

Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kereta tersadai di bahu jalan, manakala pemandu yang terlibat juga dilihat keluar dari kenderaan masing-masing dipercayai bagi menyelesaikan perkara itu.

Video kemalangan tersebut kini berlegar-legar di media sosial, manakala pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram