Bukan gay, tapi adik-beradik bergurau dalam surau — Polis


  • 112
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Tangkap layar video tular memaparkan aksi adik-beradik bergurau di dalam surau.

SELEPAS tular video memaparkan dua lelaki didakwa melakukan perlakuan sumbang dalam sebuah surau di Banting, Selangor baru-baru ini, pihak polis tampil memberi penjelasan sebenar.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Ahamd Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kedua-dua lelaki yang berusia 21 dan 14 tahun itu merupakan adik-beradik yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan.

"Kedua-dua individu berkenaan datang ke Banting bersama ibu bapa serta seorang adik perempuan untuk bercuti dan makan di sebuah restoran di pekan Banting.

"Kira-kira jam 4.30 petang, pada Selasa lalu, keluarga berkenaan singgah di sebuah surau di pekan Banting untuk menunaikan solat.

"Selepas selesai solat, kedua adik-beradik itu bergurau di dalam surau tanpa disedari perbuatan mereka dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan kedua ibu bapa mereka, dua beradik itu mempunyai hubungan yang rapat dan selalu bergurau.

Katanya, dalam kejadian itu, abang bergurau dengan adiknya serta membetulkan seluar dan tiada sebarang niat untuk berkelakuan tidak senonoh di dalam surau terbabit.

"Keterangan kedua pelaku dan ibu bapa mereka sudah diambil dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut," katanya.

Terdahulu, polis daerah Kuala Langat menerima laporan daripada pihak surau berhubung kejadian itu.

Ia susulan video berdurasi satu minit 49 saat yang dimuatnaik di media sosial memaparkan, dua lelaki tempatan membuat perkara yang tidak senonoh di dalam surau.

Polis menerima laporan pada pukul 9.07 malam Rabu lalu daripada seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun iaitu bilal surau, mengatakan melihat rakaman CCTV mengenai dua lelaki melakukan aksi terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram