SEORANG rakyat Malaysia memerlukan dana sebanyak AS$300,000 (RM1.4 juta) bagi membayar bil hospital di luar negara.
Danial Abdullah, 60, yang merupakan ahli perniagaaan, berdepan dengan siri serangan jantung ketika dia melakukan lawatan kerja di Salt Lake City, dekat Utah, Amerika Syarikat (AS) pada 15 Oktober lalu.
Isterinya, Naziratul Akmar Abu Bakar, 46, ketika menceritakan detik-detik cemas itu berkata, pada mulanya, Danial mengadu mengalami kesukaran bernafas dan menyangka ia berpunca daripada keadaan kawasan tersebut yang agak berbukit.
Menerusi panggilan telefon, suaminya yang ketika itu berada di hotel mengadu keletihan dan mahu tidur awal pada hari sama.
"Walaupun kami (keluarga di Malaysia) ikutkan permintaan dia tapi saya rasa macam berat hati.
"Bila saya telefon semula, abang ipar saya angkat dan dia menenangkan saya untuk tidak risau tentang keadaan suami sebab dia terkena serangan jantung kali pertama," katanya kepada Majoriti.
Serangan jantung berterusan
Jelas Naziratul, ketika Danial dibawa ke bilik kecemasan dekat Salt Lake Regional Medical Center, Utah, dia sekali lagi terkena serangan jantung.
Ketika itu, katanya, doktor melakukan pemeriksaan X-ray dan melihat terdapat sekatan pada salur darah suaminya, sebelum mereka memasukkan tiub pada arteri jantung.
"Masa inilah dia terkena serangan jantung kali ketiga dan mereka terus menempatkannya di bahagian Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Lepas tu doktor minta abang ipar hubungi saya untuk datang melawat suami," katanya.
Sebaik sahaja tiba di Utar, Naziratul dan ketiga-tiga anaknya terkejut apabila melihat suaminya berada dalam keadaan koma serta diberi alat bantuan pernafasan.
Melihat keadaan Daniel yang terkena serangan jantung kali keempat, doktor memutuskan untuk melakukan bantuan pernafasan menggunakan alat defibrilator selama 45 minit.
"Alat itu memerlukan kejutan elektrik dan ia dilakukan di depan mata kami sekeluarga.
"Awalnya doktor cakap macam tak ada harapan. Tetapi, tiba-tiba salah seorang daripada mereka yang berada dalam bilik rawatan mengatakan dia dapat rasa nadi suami saya.
"Tidak lama selepas itu, suami terkena serangan jantung buat kali kelima. Mereka buat sekali lagi (chest compression) dan kali ini selama 30 minit.
"Lepas tu saya arahkan doktor untuk tidak mengulangi perkara itu kalau terkena lagi (serangan jantung). Kalau tengok keadaan suami memang kasihan sebab bila alat tu ditekan, badannya macam melambung balik. Tapi, Alhamdulillah, umurnya masih panjang," katanya.
Koma
Berkongsi keadaan terkini suaminya, Naziratul berkata, Danial baru sedar dari koma sejak tiga hari lalu namun dia masih memerlukan alat bantuan pernafasan di ICU.
Kesan daripada alat defibrilator juga, tulang rusuk suaminya didapati rapuh.
"Lama sangat dia tak dapat oksigen. Bila tanya nama, tarikh lahir semuanya dia ingat.
"Kami tak tahu bila akan kembali ke Malaysia. Malah, kami juga tak tahu bila Danial boleh keluar dari ICU dan ditempatkan di wad biasa. Dia pun tidak berdaya untuk berjalan, apatah lagi duduk kerana memerlukan sokongan.
"Sekarang ini anak dan abang saya yang jaga suami. Isnin nanti mereka balik ke Malaysia dan saya akan jaga suami bersendirian," jelasnya.
Bil hospital
Setakat ini, katanya, jumlah terkumpul bagi bil hospital adalah sebanyak AS$500,000 (RM2.3 juta) tetapi dana yang diperlukan adalah sebanyak AS$300,000 (RM1.4 juta).
"Syarikat kami ada tanggung sedikit dana tersebut. Anak saya juga ada minta dana di laman gofundme bermula Khamis. Kami baru dapat kumpul AS$4,000 (RM18,888).
"Kebanyakan yang beri dana adalah rakyat Malaysia dan ada juga seorang hamba ALLAH beri AS$1,000 (RM4,700)," katanya.
Pada masa sama, Naziratul berharap agar dia dapat membawa pulang suaminya ke tanah air walau apa jua cara sekalipun.
Dia juga menghargai budi baik rakyat Malaysia yang sanggup memberi sumbangan kepada keluarganya tidak kira dari segi doa mahupun kewangan.
"Selagi tak cukup wang, mereka tak bagi kita keluar hospital. Kalau dapat lunaskan bil hospital sudah dikira bersyukur.
"Mungkin keluar hospital nanti suami kena buat fisioterapi dekat Los Angeles (California) sebelum kami terbang balik ke Malaysia," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melayari laman gofundme untuk maklumat lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram