BAHANG kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November terus membara selepas beberapa parti politik mula mengorak strategi dengan menyenaraikan pemimpin dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meraih kemenangan.
Terdapat beberapa parti politik mula menyenaraikan beberapa pemimpin NGO sebagai 'pembuka bicara' sebelum hari penamaan calon tiba.
Sebelum ini, penglibatan anak seni dalam kancah politik menjadi tarikan, namun tumpuan kini lebih ke arah siapakah pemimpin NGO yang bakal dicalonkan untuk mewakili parti politik dalam masa terdekat.
Sejarah telah membuktikan strategi meletakkan selebriti sebagai calon ada kalanya membuahkan hasil seperti kemenangan pelakon, Dira Abu Zahar yang menjadi selebriti pertama bergelar wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun lalu di bawah tiket Barisan Nasional.
Difahamkan, terdapat beberapa pemimpin NGO sudah diintai parti politik untuk mewakili mereka antaranya Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi.
Berikut, Majoriti senaraikan pemimpin NGO yang berkemungkinan akan bertanding dalam PRU15 kali ini:
Lando Zawawi
Pelakon yang juga pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Lando Zawawi dikatakan akan bertanding pada PRU15 selepas dicalonkan Gerakan Tanah Air (GTA).
Lando Zawawi atau nama sebenar, Azlan Sani Zawawi, 47, sudah tidak asing lagi apabila timbul isu berkaitan jalan raya dan sering memuat naik video menurap jalan raya yang rosak.
Kewibawaannya beliau terserlah dengan melakukan kerja amal dengan menggunakan duit poket sendiri kerana bimbang akan keselamatan pengguna jalan raya.
Rani Kulup
Rani Kulup atau nama sebenar, Abdul Rani Kulup Abdullah, 67, bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson pada PRU15 atas tiket Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN).
Pesara tentera yang juga Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) merupakan figura yang amat dikenali di negara ini dengan jolokan Raja Report Malaysia.
Beliau dikatakan membuat keputusan menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform NGO selain mahu menyelesaikan isu veteran tentera.
Siti Kasim
Peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Kasim dikatakan akan bertanding pada PRU15 di Parlimen Batu sebagai calon bebas.
Siti Kasim atau nama sebenar Siti Zabedah Kasim, 59, lantang mempersoalkan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.
Pada masa sama, Parlimen Batu dijangka menjadi salah satu kerusi panas pada PRU15 kali ini selepas disertai pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali Cleopatra.
Malah, Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua juga dikatakan akan kembali semula ke Parlimen itu selepas tidak bertanding pada PRU14 dan turut disertai calon BN, Arabatah Ali Arul Alavudeen.
Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya merupakan seorang aktivis organisasi Islam di Malaysia dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang aktif.
Beliau yang berusia 59 tahun akan bertanding menggunakan tiket Gerakan Tanah Air (GTA) di Pahang.
Difahamkan, GTA bersifat terbuka dalam menawarkan calon kepada NGO untuk bertanding pada PRU kali ini berikutan pengalaman kepimpinan NGO dalam isu kemasyarakatan selain mampu meraih sokongan rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram