BARISAN Nasional (BN) dijangka merampas semula takhta untuk membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 Oktober depan.
Susulan kejutan yang sudah diramal pada PRU14, kira-kira empat tahun lalu, BN menyaksikan kekalahan kali pertama selepas 60 tahun pemerintahan apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan dengan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen.
Namun PH hanya berkuasa selama 22 bulan ekoran berlakunya 'acara' lompat parti sehingga terbentuknya satu lagi pakatan baharu iaitu Perikatan Nasional yang menggabungkan beberapa parti besar seperti Umno, Bersatu dan PAS.
Tetapi kerapuhan gabungan dalam Perikatan Nasional juga tidak bertahan lama dengan menyaksikan pertikaman lidah dan pertukaran pucuk pimpinan kerajaan antara sesama parti komponen.
Dengan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob, akhirnya kuasa dikembalikan kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang lebih stabil dalam PRU kali ini.
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, walaupun masih terlalu awal untuk menjangkakan parti mana yang mampu membentuk kerajaan namun berdasarkan perkembangan semasa politik dan kajian lapangan, BN dilihat mampu memenangi PRU kali ini.
Dr. Mohammad Tawfik Yaakub
"Saya melihat BN mampu mendahului PH dari segi bilangan kerusi namun mereka harus bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk satu kerajaan yang dominan dan kuat.
"Terdapat tiga perkara yang menjadi faktor kemenangan BN iaitu pertama, pengundi telah melalui ketidaktentuan politik dalam satu tempoh yang agak lama dan kedua, melihat setiap prestasi pentadbiran kerajaan yang memerintah.
"Maka, faktor ketigannya, pengundi akan cenderung memilih gabungan yang boleh mewujudkan keamanan politik bagi membentuk kestabilan kerajaan dan perkara ini telah dibuktikan BN dengan pemerintahan selama 60 tahun sebelum ini," katanya kepada Majoriti.
BN harus bekerjasama dengan GPS dan GRS untuk membentuk satu kerajaan yang dominan dan kuat.
Tambah Mohamad Tawfik, tsunami politik pada 2018 untuk menamatkan riwayat politik Datuk Seri Najib Tun Razak telah reda selepas dipenjarakan sementara tokoh politik Umno yang terpalit dengan salah laku sedang dibicarakan di mahkamah.
"Tugas pengundi membentuk tsunami pada 2018 telah selesai dan mereka akan kembali memberikan mandat kepada gabungan parti yang mampu mewujudkan kerajaan stabil seperti BN.
"Pada masa sama, kadar keluar mengundi dijangka sebanyak 70 peratus kerana pengundi muda sudah bosan dengan kemelut antara pemimpin politik. Ini memberi kelebihan kepada BN untuk mendapat undi tradisi dari penyokong tegar dan dibuktikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor," katanya.
Azmi Hassan
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, BN merupakan parti yang agak kuat di Semenanjung Malaysia terutamanya di kawasan majoriti berbangsa melayu.
"Sekiranya BN mampu melepasi sebanyak 112 kerusi, sudah pasti parti itu mampu membentuk kerajaan. Terdapat juga kemungkinan BN akan bergabung dengan GPS dan GRS untuk menguatkan lagi strategi ketika PRU kali ini.
"BN mempunyai kekuatan pengundi berbangsa Melayu di kawasan Semenanjung Malaysia namun banyak perkara boleh berlaku dalam pilihan raya," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram