MASALAH kerosakan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur masih tidak menemui jalan penyelesaian.
Penduduk terus dihantui masalah sama setiap kali ingin melakukan urusan harian dan terpaksa menggunakan tangga untuk turun serta naik ke kediaman masing-masing.
Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Azli berkata, terdapat pihak penyelenggara lif datang pada Isnin untuk membaiki namun masih lagi rosak.
"Ada penyelenggara datang namun tidak boleh membaiki lif tersebut kerana terdapat komponen yang perlu ditempah bagi membaiki lif tersebut.
"Penyelenggara itu ada memberitahu tempoh tempahan itu memerlukan masa sehingga sebulan untuk sampai. Jadi, kami hanya mampu menunggu dalam tempoh tersebut," katanya kepada Majoriti.
Antara kerosakan lif yang berlaku di PA Seri Perak, Bandar Baru Sentul.
Tambah Azli, pihaknya ada menghubungi pihak yang bertanggungjawab termasuk penyelenggara lif namun pelbagai alasan diberikan.
"Apa lagi kami boleh buat, hanya menunggu dan berharap perkara ini boleh diselesaikan secepat mungkin kerana tempoh sebulan itu agak lama.
"Banyak benda boleh berlaku dalam tempoh tersebut seperti kematian, terperangkap dalam lif dan bagaimana pula untuk warga emas, ibu mengandung dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang harus menggunakan tangga dalam tempoh tersebut," jelasnya.
Penduduk terpaksa menunggu hampir sejam untuk menggunakan kemudahan lif.
Terdahulu, Majoriti melaporkan kemudahan lif yang uzur dimamah usia dan sering rosak menyebabkan penduduk di Perumahan Awam Seri Perak mengalami kesukaran melakukan aktiviti harian.
Lebih parah apabila golongan warga emas, ibu mengandung dan OKU terpaksa mengerah keringat menggunakan tangga untuk sampai ke kediaman masing-masing.
Sementara itu, usaha Majoriti menghubungi pihak penyelenggara gagal selepas panggilan hanya disambungkan ke nombor yang tidak berjawab.
Manakala cubaan mendapatkan kenyataan dari pegawai yang dikatakan bertanggungjawab juga gagal kerana diberi alasan terlalu sibuk dan hanya pihak atasan boleh memberikan kenyataan.
Gambar rajah yang dikongsi DBKL berhubung kerja baik pulih lif di PA dan PPR.
Bagaimanapun, pada 25 April 2022, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan kenyataan berhubung pelaksanaan pengantian dan menaik taraf lif di kawasan Perumahan Awam(PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Bilangan lif yang diganti melibatkan 306 unit dengan kos sebanyak RM169,626,180 bagi tempoh lima tahun bermula dari tahun 2020 sehingga 2024.
Kerja penggantian serta menaik taraf lif ini dilaksanakan secara berfasa dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Penggantian lif untuk Perumahan Awam Seri Perak termasuk di dalam fasa 2.
Satu mesyuarat pra penyerahan tapak kepada syarikat yang berjaya telah diadakan bagi membolehkan kerja-kerja di tapak bermula pada 1 Julai 2022 dan dijangka siap pada Oktober 2023.
Sebelum kerja-kerja penggantian lif baharu dimulakan, penyelenggaran berkala dan pemantauan lif sentiasa dilaksanakan oleh kontraktor sedia ada.
Kontraktor terbabit bertanggungjawab sekiranya lif mengalami kerosakan dan jika berlaku mantrap di kawasan berkenaan. Tindakan sementara membaiki akan diteruskan sehingga pelaksanaan kerja-kerja penggantian lif siap sepenuhnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram