Sayu kehilangan suami tercinta akibat kemalangan ketika sarat mengandung


  • Massa
  • Rabu, 26 Okt 2022

GAMBAR keluarga terakhir bersama arwah suami yang dikongsi Nurul Diyanah Saludin.

TAK sempat anak merasa kasih ayah, itu yang dikongsi seorang wanita selepas kematian suami akibat kemalangan maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, Selangor pada 25 Mei lalu.

Kisah ini dikongsi sendiri Nurul Diyanah Saludin, 30 kepada Majoriti pada Rabu.

"Saya mendapat berita suami terbabit kemalangan ketika baru sampai di rumah selepas pulang bekerja di sekitar Sepang, Selangor.

"Saya hanya mampu terduduk dan tidak mampu berfikir apa-apa. Ketika itu anak dalam kandungan sudah mencecah lapan bulan," katanya kepada Majoriti.

Kata Nurul, arwah suaminya telah dilanggar sebuah kereta yang ingin memasuki simpang di sekitar Kuala Lumpur.

"Arwah suami bekerja sebagai pembantu stor di Kuala Lumpur dan sering ulang-alik dengan menunggang motosikal.

"Akibat kemalangan tersebut, arwah suami, Mohd Aizuddin Abu, 29, patah tulang pinggul sebelah kanan dan bahu kiri.

"Arwah suami juga sudah lima kali bertukar hospital sepanjang menerima rawatan dalam tempoh lebih seminggu," jelasnya.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 6.59.23 PM

Nurul Diyanah Saludin bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 5 tahun dan 4 bulan.

Nurul turut memberitahu, pada awalnya, arwah suami masih sedar dan kelihatan akan sembuh seperti biasa.

"Namun apakan daya, hidup dan mati itu sudah ditentukan. Suami menghembus nafas terakhir selepas seminggu dimasukkan ke hospital akibat masalah pernafasan dan darah beku dalam paru-paru.

"Air mata saya tidak berhenti mengalir melihat dia pergi meninggalkan saya. Selama tujuh tahun kami bahagia menempuhi alam perkahwinan namun ALLAH lebih menyayanginya.

"Saya reda dengan ketentuan ini dan akan terus kuat membesarkan dua anak dengan penuh kasih sayang," katanya.

Tambah Nurul, anak pertama sangat rapat dengan arwah suami manakala anak kedua tidak sempat berjumpa arwah kerana masih dalam kandungan ketika kejadian.

"Anak pertama berusia 5 tahun manakala anak kedua berusia 4 bulan dan kedua-duanya adalah lelaki.

"Anak pertama sering mencari arwah suami dan dia seorang yang kuat walaupun masih kecil. Dia sendiri ingin melihat jenazah arwah suami bermula dari bilik mayat sehinggalah dikuburkan," luahnya.

download

Perkeso menghulurkan bantuan dengan memberi pampasan penakat kepada waris.

Dalam pada itu, Nurul Hidayah turut berterima kasih kepada Perkeso atas bantuan yang diberikan yang mampu mengurangkan beban kehidupan seharian.

"Saya menerima bantuan pampasan penakat sebanyak RM999 pada setiap bulan, bantuan barangan dapur dan khairat kematian oleh Perkeso.

"Saya sangat menghargai bantuan diberikan Perkeso yang dapat mengurangkan beban ditanggung setiap bulan. Doakan saya terus kuat membesarkan dua anak-anak," luahnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram