JABATAN Imigresen berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan manusia yang menyebabkan kerugian kepada negara sehingga RM1.7 juta dalam Ops Gelombang di beberapa lokasi di Kelantan pada Rabu
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dilakukan di sekitar Terminal Bas Kota Bharu dan Pasir Mas, Kelantan telah berjaya menahan seramai 49 pendatang asing tanpa izin (Pati).
"Anggota bertugas juga berjaya menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 37 tahun yang bertindak sebagai transporter untuk sindiket ini.
"Kesemua 49 Pati yang ditahan terdiri daripada 32 lelaki, 16 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar berusia antara 8 hingga 51 tahun.
"Pati ini dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui jalan tikus sebelum dipindahkan dengan 10 kenderaan ke terminal bas berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud
Tambah Khairul Dzaimee, risikan telah dilakukan selama dua minggu dan mendapati sindiket tersebut menyeludup Pati menggunakan laut melintasi sempadan Malaysia-Thailand.
"Dalang sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap Pati sebelum membawa mereka ke lokasi tertentu di Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah.
"Terdapat sesetengah Pati wanita akan bekerja sebagai tukang urut atau terlibat dalam perkhidmatan pelacuran.
"Siasatan mendapati, transporter ini menerima upah antara RM150 hingga RM250 untuk setiap orang Pati yang berjaya dibawa dari sempadan ke negara ini," jelasnya.
Antara transporter yang ditahan dalam Ops Gelombang.
Khairul Dzaimee berkata, semasa operasi dijalankan, terdapat Pati cuba melarikan diri namun tidak berjaya kerana kawasan tersebut telah dikepung.
"Anggota bertugas juga mengambil langkah berjaga-jaga kerana sindiket ini sanggup bertindak agresif dan melakukan ancaman fizikal untuk melarikan diri.
"Kita percaya sindiket ini aktif sejak Mei tahun ini sebaik pintu sempadan dibuka semula.
"Sindiket ini juga memperdaya Pati dari Myanmar, Bangladesh dan India untuk bekerja di negara ini. Kita difahamkan, seramai 160 PATI dibawa masuk setiap bulan yang menyebabkan kerugian sehingga RM1.7 juta kepada negara," jelasnya.
Kesemua Pati ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Sementara lapan transporter warga tempatan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram