PRU15: 5 selebriti mahu cuba nasib ikut jejak Dira Abu Zahar


  • Politik
  • Khamis, 27 Okt 2022

Dira muncul sebagai artis pertama menjadi wakil rakyat.

PENGLIBATAN anak seni dalam dunia politik bukan lagi sesuatu yang baharu. Malah, ada yang pernah menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Malah, sejarah sudah menunjukkan sejak PRU11, Abu Bakar Ellah yang merupakan artis terkenal Borneo itu pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Sabah.

Pada PRU13, tiga lagi artis seperti Herman Tino bertanding di Parlimen Tanjung Karang sebagai calon Bebas; Dayangku Intan menjadi calon PKR dan bertanding di Parlimen Pengerang serta Aishah menyertai PAS bertanding sebagai calon Parlimen Jempol.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 10.31.00 PM

Situasi semakin meriah apabila pelakon dan pengacara kontroversi, Azwan Ali pula mengumumkan bertanding sebagai calon bebas di kerusi DUN Bukit Antarabangsa menentang abangnya sendiri iaitu Datuk Seri Azmin Ali pada PRU14.

Seorang lagi pelakon, Datuk Dira Abu Zahar juga bertanding pada PRN Melaka pada tahun lalu dan kini menjadi Timbalan Speaker DUN Melaka.

Berikut, Majoriti senaraikan lima lagi selebriti yang berkemungkinan akan bertanding dalam PRU15 kali ini:

WhatsApp Image 2022-10-26 at 10.03.08 PM

Hans Isaac

Menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Februari pada tahun lalu, Hans Isaac pernah bertanding dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Ampang.

Dia bagaimanapun tewas dalam kiraan semula kepada pesaingnya yang juga penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad.

Bagaimanapun, pada Kongres Nasional PKR 2022, Hans dipilih menduduki 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang baharu melalui proses undian.

Hans bagaimanapun tidak menolak jika dipilih untuk menjadi calon dan sedia menggalas amanah yang diberi.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 10.02.59 PM

Shahrol

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 38, sebelum ini secara terbuka banyak mendedahkan aktiviti politiknya bersama Barisan Nasional (BN) di akaun media sosialnya.

Walaupun sudah jarang terlibat dalam dunia seni, Shahrol mengakui yang dirinya belum cukup ilmu untuk meluaskan kariernya dalam dunia politik.

Namun, dia juga tidak menolak kemungkinan menjadi calon jika ada pihak yang yakin dengannya untuk bertanding dalam PRU kali ini.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 10.04.53 PM

Ahmad Idham

Ahmad Idham yang juga penerbit dan pengarah terkenal baru sahaja dilantik menjadi Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan.

Bintang drama Cinderella itu bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan soal menjadi calon pada PRU15.

Namun, Ahmad Idham ketika ini giat menyantuni pengundi di Port Dickson dalam pelbagai program.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 10.04.42 PM

Azwan Ali

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang lalu, pengacara sensasi, Azwan Ali, 56, yang bertanding sebagai calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, kalah dengan hanya mengutip 90 undi sahaja.

Namun, Azwan atau lebih dikenali dengan nama Diva AA pernah memberitahu Majoriti, dia tidak mahu mengalah dan mengakui akan meneruskan perjuangannya untuk menentang abangnya sendiri, Datuk Seri Azmin Ali.

"Semangat saya tak pernah pudar. Macam semangat Mat Kilau. Itulah Diva AA. Walaupun sebelum ini hanya memperoleh 90 undi, mungkin lepas ini akan jadi 91 undi. Why not.

"Ini bukan pasal jumlah undi, tetapi lebih kepada kelantangan saya untuk menjadi calon. Saya guna duit kederat sendiri dan saya tahu, saya ada penyokong," katanya.

jurey latiff

Jurey Latiff

Seorang lagi anak seni yang tidak asing dalam kalangan peminat tempatan adalah pengarah filem dan drama, Jurey Latiff yang dikhabarkan bakal bertanding merebut kerusi Parlimen Lenggong, Perak pada PRU15 atas tiket calon Bebas.

Sikap prihatin Jurey atau nama sebenarnya Mohd Jurey Latiff Mohd Rosli, 56, bukan lagi rahsia buat penduduk sekitar Lenggong apabila kerap menyantuni masyarakat memerlukan yang disiarkan menerusi programnya, Lenggong TV.

Dia bakal mencabar penyandang kerusi Lenggong, Dr Shamsul Anuar Nasarah daripada BN.

Untuk rekod, tarikh penamaan calon PRU 15 ialah pada 5 November, kempen berkempen pula adalah selama 14 hari dan berakhir pada hari mengundi, 19 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram