Jangan tak percaya, ini 4 legenda 'rockstar' yang pernah jadi bintang filem


  • Hiburan
  • Khamis, 27 Okt 2022

Empat legenda rock ini pernah membintangi filem.

KETIKA era 80-an hingga awal 90-an, negara menyaksikan kemunculan kumpulan rock yang ramai hingga industri muzik dipenuhi dengan genre muzik itu sahaja.

Ada yang berjaya untuk kekal dan menaikkan nama mereka dalam industri seni tetapi ada juga yang tewas dan tidak mencapai populariti yang diharapkan.

Populariti genre tersebut juga membuatkan penerbit filem mahu muka depan kumpulan rock ini tampil dalam filem mereka pada ketika itu.

Berikut Majoriti senaraikan empat vokalis kumpulan rock yang pernah bergelar hero dalam filem:

Awie

Bukan sahaja kekal popular bersama kumpulan Wings hingga kini, Awie selaku vokalis juga cukup dikenali dalam layar perak.

Awie atau nama sebenarnya, Datuk Ahmad Azhar Othman mula terjebak dalam dunia lakonan menerusi filem Pemburu Bayang pada 1993.

Filem itu kemudian melonjakkan lagi namanya sehingga terlibat dengan banyak filem lain yang mendapat sambutan hangat seperti Sembilu, Sembilu II, Tragedi Oktober dan Maria Mariana II.

Bukan sahaja watak serius, Awie juga berbakat melakonkan watak komedi antaranya menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kilang Biskut.

Amy Search

Amy atau nama sebenarnya Datuk Suhaimi Abdul Rahman cukup terkenal sebagai vokalis Search, kumpulan rock legenda yang terkenal hingga kini.

Selain dikenali dengan suaranya, Amy juga pernah membintangi beberapa filem sepanjang bergelar anak seni.

Antaranya filem Fenomena dan Isabella pada 1990 yang juga merupakan judul lagu dalam bagi kumpulannya.

Agaknya, bakat seni lakonan itu yang melekat kepada anaknya yang kini menjadi pelakon popular iaitu Nabila Huda.

M Nasir

Datuk M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed cukup dikenali bukan sahaja kerana suaranya, tetapi juga bakatnya dalam mencipta lagu.

Selain bakat yang tinggi dalam dunia muzik, M Nasir juga banyak mendapat pujian apabila memegang watak dalam lakonan.

Vokalis kumpulan Kembara ini muncul dengan filem pertamanya berjudul Kembara Seniman Jalanan yang ditayangkan pada 1986.

Antara filem yang masih diingati adalah peranannya sebagai Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang yang ditayangkan pada 2004.

Nash

Vokalis kumpulan Lefthanded, Nash atau nama sebenarnya Datuk Nashrudin Elias juga penyanyi rock yang dikenali dengan suara serak basahnya.

Selain terkenal dengan lagu Pada Syurga Di Wajahmu, Nash juga pernah beberapa kali terlibat dengan filem dan drama.

Filem pertamanya ialah Rozana 1987 yang mana dia menjadi pelakon undangan dan membawa watak dirinya sendiri.

Selain itu, Nash juga berlakon dalam filem seperti Memori dan terbaharu, Seratus yang sedang ditayangkan di pawagam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram