Boleh menari ketika majlis kahwin, tapi ada syaratnya — Pendakwah


  • Mukmin
  • Khamis, 27 Okt 2022

Selagi tidak bercampur antara lelaki dan wanita, acara tarian di majlis perkahwinan dibolehkan. — Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini, kecoh majlis perkahwinan disambut dengan gilang gemilang apabila pengantin baharu dan para tetamu dilihat menari sakan sambil diringi muzik kuat.

Misalnya video tular pada awal Oktober lalu, menyaksikan pasangan pengantin menari dikelilingi semua pengiring menari seolah-olah sedang berpesta di kelab malam.

Difahamkan, majilis perkahwinan itu difahamkan berlaku di Karawang di Jawa Barat, Indonesia.

Majlis perkahwinan sebegitu rupa tidak berhenti di situ apabila majlis perkahwinan pasangan selebriti, Sweet Qismina dan Adam Lee ataupun nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee turut dikecam oleh warganet baru-baru ini.

Sweet ataupun nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi dilihat sakan menari di majlis perkahwinannya itu sekali gus mengundang rasa kurang senang pengguna sosial media.

Tidak kurang juga, ada yang meluahkan rasa kecewa dengan acara dalam majlis perkahwinan pasangan itu serta mengatakan terlalu mengikut gaya Barat.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 8.27.41 PM

Tangkap layar video Sweet Qismina menari ketika majlis perkahwinannya.

Mengulas mengenai isu berkenaan, Ketua Sekretariat Penulisan Ulum Syarak (Pemikir), Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian menjelaskan bahawa meraikan majlis perkahwinan dengan tarian sebenarnya dibolehkan.

Bagaimanapun, Mohd Suhail berkata, majlis tarian boleh dilakukan jika lelaki dan wanita melakukannya secara berasingan bagi menghalang berlakunya maksiat.

Tegasnya, jika menari secara bercampur antara lelaki dan perempuan, maka haram hukumnya majlis tersebut.

“Apa yang haram pada majilis perkahwinan samalah haram macam di luar majis perkahwinan. Jika di luar majlis perkahwinan lelaki dan perempuan diharamkan untuk menari bersama-sama, maka di majlis kahwin pun begitu.

“Ada beberapa tempat contohnya di Mesir dan sebahagian negara Arab yang mana mereka buat majlis tarian tapi dipisahkan antara lelaki dan perempuan. Jadi pada malam berinai, orang perempuan akan bernasyid dan menari. Hanya budak lelaki yang belum baligh boleh masuk ke bilik itu.

“Kalau bercampur lelaki dan perempuan memang jadi haramlah, tapi jika tak bercampur benda itu tiada masalah,” katanya kepada Majoriti.

Mohd Suhail menambah, situasi yang berlaku pada zaman kini adalah isu tidak menutup aurat dalam kalangan tetamu dan kedua mempelai itu sendiri.

Menurutnya, aurat itu bukan sekadar menutup seperti bertudung namun melibatkan gerak langkah dan cara bercakap.

“Kes yang berlaku sekarang tak tutup aurat. Aurat ini bukan sekadar kita tutup tapi aurat adalah gerak langkah dan bercakap.

“Cuma risau hari ini meskipun ada yang dah pisahkan kawasan lelaki dan wanita tetapi masih ada yang nak post di TikTok. Kena ingat batasan untuk jaga kehormatan perempuan,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram