DUA lelaki maut manakala tiga lagi cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang Transit Aliran Massa (MRT) berhampiran Eco Cheras Mall, Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rizuan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 6.42 pagi sebelum tujuh anggota tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.
Katanya, kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan jenis Toyota Innova itu berjaya dikeluarkan pada pukul 7.06 pagi.
"Pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala tiga lagi cedera serta berada dalam keadaan separuh sedar," katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menerima rawatan sementara mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, identiti kesemua mangsa serta punca kemalangan masih dalam siasatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram