PRESIDEN Pari Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan siri jelajah ke Miri dan Kuching, Sarawak susulan pemergian ibu mentuanya, Datin Mariah Khamis pada Isnin.
Pembatalan itu dimaklumkan Anwar menerusi akaun Facebook rasminya.
"Saya memohon maaf kepada seluruh pimpinan Harapan Sarawak serta para pendukung kerana terpaksa membatalkan jelajah ke Miri dan Kuching yang dijadualkan hari ini. Kita ketemu lagi di lain waktu, Insya-ALLAH," katanya.
Menurut Anwar, solat jenazah ibu kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan diadakan pada 11.30 pagi Isnin di Masjid Al-Mustaqim, Ampang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri turut menyampaikan salam takziah atas berita sedih itu.
"Bagi pihak Keluarga Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada Dr Wan Azizah dan keluarga atas pemergian bonda tercinta.
"Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram