Buktikan Warisan tidak lindungi PATI — PBS


  • Politik
  • Isnin, 24 Okt 2022

Maximus Ongkili mahu Warisan membuktikan parti itu tidak melindungi PATI.

PARTI Bersatu Sabah (PBS) mahu Warisan membuktikan yang mereka tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Perkara itu ditegaskan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang menganggap, penafian sahaja tidak mencukupi.

"Setakat nafi sahaja tak cukup. Buktikan kepada kami yang Warisan tidak melindungi PATI," katanya.

Ongkili berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang mahu menyamannya kerana mendakwa Warisan melindungi PATI.

"Sebenarnya, saya hanya berkata apa yang ditulis di dalam blog dan dibangkitkan orang ramai berkenaan status beberapa ahli Warisan.

"Mereka bertanya sama ada beberapa ahli Warisan itu adalah orang Sabah yang asli.

"Saya percaya, pada ketika ini, Warisan perlu membuktikan hal itu salah. Penafian sahaja tidak cukup, perlu datang dengan bukti," katanya.

Sebelum ini, Ongliki dalam satu ucapannya dalam siri jelajah Gabungan Rakyat Sabah di Tenom, pada Sabtu berkata, PBS tidak bersedia untuk bekerjasama dengan Warisan.

Katanya, PBS membuat keputusan demikian kerana banyak ahli akar umbi Warisan terdiri daripada PATI.

Sebelum ini, Shafie berkata, isu PATI telah digunakan terhadap Warisan pada setiap kali pilihan raya.

Katanya, parti politik musuh telalu kerap mengaitkan mereka sebagai parti mesra PATI sedangkan perkara itu tidak berlaku sama sekali. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram