MAJORITI 7 DILANCARKAN SECARA RASMI


  • Massa
  • Khamis, 20 Okt 2022

Majoriti 7 akan memberi peluang bentuk kerjasama buat jenama terkenal untuk mempamerkan produk mereka kepada pembaca.

MEMPERKENALKAN mingguan Bahasa Malaysia premium pertama di Malaysia.

Tampil dengan visi berbeza untuk mentakrifkan semula penceritaan dan ulasan budaya moden, akhbar terbaharu Majoriti 7 menyediakan kandungan progresif dan bermanfaat bagi mencetuskan idea dan minat sekali gus menjadi sebutan orang ramai.

Mengambil inspirasi daripada kehidupan bandar yang produktif, slogan Majoriti 7 'Adrenalin Metropolitan' jelas mencerminkan lensa uniknya di persada tempatan dan antarabangsa.

Sebagai platform baharu yang menghubungkan pembaca premium kepada pengiklan premium, penerbitan cetakan mingguan Majoriti 7 boleh didapati pada setiap Khamis di kafe Starbucks terpilih dan restoran De.Wan 1958 untuk pelanggan mereka.

Orang ramai juga boleh mendapatkan akhbar Majoriti 7 di cawangan 7-Eleven dan PETRONAS Mesra terpilih di sekitar Lembah Klang pada harga RM8 senaskhah.

Ketua produk Chung Eng Lee berkata, Majoriti 7 akan memberi peluang bentuk kerjasama buat jenama terkenal untuk mempamerkan produk mereka kepada pembaca.

“Saluran pengedaran unik Majoriti 7 akan menyediakan talian komunikasi terus antara syarikat jenama dengan pembaca premium yang disasarkan.

"Ini adalah peluang yang baik untuk kami bekerjasama dengan jenama terkenal yang bersesuaian dengan kandungan berwibawa Majoriti 7.

“Melalui akhbar premium ini, setiap jenama akan dapat mempamerkan ciri dan tawaran tersendiri mereka. Era baharu penerbitan cetak sudah tiba dan kami mengalu-alukan pihak yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan yang menarik ini,” katanya.

Memfokuskan pada laporan khas segenap peristiwa semasa, Majoriti 7 akan menampilkan artikel mengenai pelbagai topik daripada kewangan dan perniagaan sehinggalah kepada spektrum gaya hidup yang luas.

Pemimpin redaksi Majoriti 7, Suzie Adnan berkata: "Majoriti 7 adalah yang pertama seumpamanya dalam bahasa Malaysia dan kandungannya disusun khas untuk merangkumi pelbagai segmen yang memenuhi keperluan masyarakat metropolitan.

“Daripada mengulas isu semasa sehingga mempamerkan dunia orang luar biasa, gaya dan tempat eksklusif, Majoriti 7 memaparkan budaya dan pencapaian yang membentuk komuniti kita,” katanya.

Kepada mana-mana jenama yang berminat untuk mengembangkan produk mereka, bolehlah berhubung dengan Majoriti 7 di sini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

StoryImage_BM(2)