Wanita rentung, kereta terbakar nahas awal pagi Lebuhraya MEX


  • 112
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Keadaan kereta mangsa yang terbakar selepas nahas di Lebuhraya MEX pada awal pagi Sabtu. — JBPM KL

SEORANG pemandu wanita ditemukan rentung selepas kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 10.9 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, seorang penumpang lelaki cedera manakala tiga lagi penumpang wanita selamat.

Komander Operasi, Khairuddin Abdurrahman berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.14 pagi.

Beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil serta Pudu dengan kekuatan 17 anggota dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi mendapati sebuah kereta terbakar berpunca daripada kemalangan dengan sebuah kereta Proton Saga.

"Anggota segera memadamkan kebakaran. Kereta musnah terbakar 100 peratus dan seorang wanita ditemukan rentung di bahagian pemandu.

"Seorang penumpang lelaki cedera di kepala manakala tiga lagi penumpang wanita selamat. Pemandu kereta Proton Saga juga tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram