SEBUAH keluarga berketurunan Tionghoa hadir ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, Johor pada Isnin kerana mengesyaki seorang lagi mangsa yang terkorban dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Sabtu lalu, sebagai ahli keluarga mereka.
Pengesahan itu dibuat polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow pada Isnin.
Beng Yeow berkata, keluarga berkenaan bagaimanapun tidak dapat mengecam mayat tersebut dan perlu menunggu hasil ujian pemadanan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.
"Sebuah keluarga hadir ke rumah mayat untuk buat pengecaman atas mayat tetapi tidak dapat cam.
"Pihak hospital mengambil darah ahli keluarga untuk buat (pemadanan) DNA dan laporannya hanya akan keluar (diketahui) dalam tempoh dua minggu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sabtu lalu, dua mangsa rentung apabila kenderaan yang dinaiki terbakar dalam kemalangan ngeri melibatkan dua buah lori dan tiga kereta di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.
Salah seorang mangsa dikenal pasti sebagai Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, manakala identiti seorang lagi mangsa masih belum diketahui.
Kemalangan berkenaan turut tular di media sosial selepas sebuah video menunjukkan sebuah kereta marak terbakar dengan suara seorang lelaki meraung memaklumkan isterinya berada di dalam salah sebuah kenderaan yang sedang terbakar.
Siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila pemandu lori dari arah Ayer Hitam ke Johor Bahru memandu di lorong kiri jalan dilanggar dari belakang oleh pemandu kereta jenis Proton Preve.
Pada masa sama, pemandu kereta jenis Proton Wira (yang dinaiki Nurul Nazihah), melanggar belakang Proton Preve manakala pemandu sebuah lagi kereta (jenis tidak pasti) telah melanggar bahagian belakang Proton Wira berkenaan.
Sebuah lori kemudiannya merempuh Proton Wira berkenaan termasuk sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti (dinaiki seorang lagi mangsa) menyebabkan kenderaan tersebut terbakar.
Sementara itu, Beng Yeow memberitahu, keadaan kereta yang terbakar sepenuhnya itu tidak dapat dikenal pasti.
"Phak berkuasa masih berusaha mengesan nombor casis dan nombor enjin kenderaan keempat itu," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram