Lelaki warga emas rentung dalam kebakaran kereta di Klang


  • 112
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Keadaan kereta yang terbakar dan mengakibatkan seorang warga emas rentung.

POLIS mengesahkan individu yang ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di tepi Jalan Shahpadu, Kampung Sungai Pinang, Klang, Selangor pada Jumaat merupakan seorang lelaki warga emas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa berusia lingkungan 70-an dan dipercayai terbakar hampir 70 peratus di bahagian badannya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kita mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut ( SDR )," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kes itu kira-kira pukul 5.27 pagi.

"Sebaik tiba 10 minit kemudian didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil (nombor plat, BGN 5095) yang terbakar 100 peratus dengan seorang mangsa turut terbakar 100 peratus di tempat duduk pemandu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram