Guna taktik naik bas, Imigresen tumpas sindiket penyeludupan migran


  • 112
  • Selasa, 18 Okt 2022

Enam individu termasuk ejen warga Kemboja ditahan JIM di Terminal Bas Shah Alam pada Ahad.

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran yang didalangi seorang lelaki warga Kemboja dalam satu operasi khas di Terminal Bas Shah Alam pada Ahad.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menerima maklumat awam terdapat seorang ejen dan lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas dari sempadan Malaysia-Thailand.

"Kesemua PATI terbabit ditahan sebaik sahaja tiba di Terminal Bas Shah Alam dan dipercayai masuk ke negara ini secara tidak sah dengan menggunakan lorong tikus.

"Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga Kemboja berusia 47 tahun disyaki ejen bersama dua lelaki dan tiga wanita Myanmar berusia antara 18 hingga 44 tahun," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Khairul Dzaimee, semakan mendapati kesemua PATI warga Myanmar tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

"Sindiket ini dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara mula dibuka semula. Ejen penyeludupan dari negara jiran akan mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 bagi setiap PATI yang diuruskan kemasukan di negara ini.

"Sementara ejen di negara ini akan dibayar oleh ejen dari negara jiran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap PATI," jelasnya.

Katanya, kesemua PATI disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram