[VIDEO] Gara-gara lauk habis, lelaki mengamuk di kedai makan Taman Sri Sentosa


  • 112
  • Isnin, 17 Okt 2022

Tangkap layar memaparkan tindakan seorang lelaki mengamuk di sebuah kedai makan.

HANYA disebabkan tidak berpuas hati makanan yang dijual telah habis, seorang lelaki sanggup mengamuk di sebuah kedai makanan di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur pada Isnin.

Kejadian berjaya dirakam menerusi sebuah video berdurasi 45 saat sebelum tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, kelihatan seorang lelaki menolak barangan di atas meja di sebuah kedai makan sehingga jatuh.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian berlaku pada pukul 1.40 pagi di kedai makan Amzah Tom Yam.

"Suspek merupakan seorang lelaki tempatan telah datang ke kedai tersebut untuk membeli makanan namun telah habis dijual.

"Suspek yang tidak berpuas hati kemudiannya telah menolak barangan di atas meja sehingga terjatuh sebelum beredar dari kedai makan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Petaling telah membuat rondaan sebaik menerima maklumat berhubung kes tersebut.

"Suspek ditemui berhampiran Surau Al-Akhlaqiah, Seri Sentosa, Kuala Lumpur dan sebaik menyedari kehadiran pihak polis, suspek cuba melarikan diri termasuk bertindak agresif.

"Dengan bantuan dua orang awam, tangkapan terhadap suspek telah berjaya dilakukan berhampiran pangsapuri Petaling Utama, Jalan PJS 1/52 Petaling Jaya, Selangor pada Isnin," jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan perbuatan khianat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, mengamuk, makanan, habis, dijual, tahan, suspek, kes