Konsep ladang monokultur semakin menyimpang punca bencana alam kerap berlaku


  • Massa
  • Selasa, 18 Okt 2022

Individu tidak bersalah menjadi mangsa akibat kerakusan manusia memusnahkan hutan.

KERAKUSAN manusia mengaut keuntungan dengan memusnahkan hutan bukan lagi isu baharu kerana terlalu banyak bencana alam sudah berlaku sehingga meragut nyawa individu tidak bersalah.

Sedar atau tidak, bencana alam pula semakin hari semakin ganas membalas 'dosa' manusia.

Sudah menjadi kelaziman apabila berlaku bencana, pihak yang memusnahkan hutan bertindak diam seribu bahasa seolah-olah hilang dari muka bumi.

Jari mula menuding antara satu sama lain berbeza ketika sedang mengaut keuntungan, tangisan manusia yang kehilangan nyawa orang tersayang atau harta benda begitu mudah diganti dengan wang ringgit.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kelemahan pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini amat membimbangkan.

Meor Razak Meor Abdul Rahman questioned if Social Impact Assement was done at the village

Meor Razak Meor Abdul Rahman

"Terdapat beberapa pihak Berkuasa Negeri yang menggalakkan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

"Negeri-negeri yang giat melaksana pembangunan ladang monokultur dalam HSK dan membimbangkan ialah Kelantan, Perak, Pahang, Kedah dan beberapa negeri lagi," katanya kepada Majoriti.

Kata Meor, konsep ladang itu sebenarnya sudah bercanggah dengan konsep hutan dari segi bahasa dan terminologi.

"Ladang adalah kawasan pertanian secara monokultur berskala besar dipenuhi tanaman manakala hutan asli pula terbentuk secara semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan, sekali gus mempunyai kepelbagaian hayat yang tinggi serta fungsi ekologi.

"Pembangunan ladang monokultur juga menyebabkan fungsi kepelbagaian hutan terjejas selain kawasan koridor hidupan liar terutamanya gajah dan harimau belang turut diguna pakai.

"Pada tahun 2012, Majlis Tanah Negara (MTN) telah bersetuju seluas 439,189 hektar sebagai zon pembangunan ladang monokultur dalam HSK di Semenanjung Malaysia," jelasnya.

WhatsApp Image 2022-10-17 at 11.16.18 AM

Hutan ditarah di kawasan HSK bagi tujuan ladang monokultur.

Meor memberitahu, pelaksanaan lain-lain kegiatan selain guna tanah hutan dan pemansuhan status sebagai HSK turut menjadi punca kemusnahan hutan.

"Di samping itu terdapat kegiatan dan pengubahan guna tanah selain guna tanah dalam HSK seperti kegiatan pengkuarian, perlombongan, pertanian, akuakultur dan beberapa kegiatan lain.

"Pemansuhan status HSK juga menyebabkan sumber hutan tidak lagi terpelihara dan menyebabkan keluasan hutan semakin mengecil. Ia secara tidak langsung memusnahkan flora dan fauna," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hutan, musnah, bencana, alam, meor razak,