AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz berpegang pada janjinya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Saya berpegang pada janji saya, walaupun saya rasa boleh menang," katanya.
Nazri berkata, dia telah memenangi kerusi Parlimen Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak selama enam penggal sekarang dan sudah tiba masanya untuknya berundur.
"Tahun lepas saya menyatakan untuk tidak bertanding dalam PRU akan datang. Saya berumur 68 tahun dan saya telah menjadi Ahli Parlimen Padang Rengas selama enam penggal.
"Sudah tiba masa untuk muka baharu mengambil alih. Saya mahu menunjukkan contoh yang baik, kerana ada orang berusia 97 tahun yang tidak menunjukkan contoh yang baik," kata Nazri.
Terdahulu, penyandang Ahli Parlimen Langkawi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan yang dia mempertahankan kerusinya dalam PRU kali ini.
Dalam pada itu, Nazri menafikan pengumumannya menarik diri disebabkan rasa bimbang tidak mendapat pengesahan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding.
"Presiden tidak berkata apa-apa kepada saya dan saya tidak takut untuk mendapatkan sokongannya.
"Saya tidak berundur daripada politik. Saya akan tetap menjadi Ketua Umno Padang Rengas dan saya akan tetap aktif dalam hal parti.
"Saya akan terus bersuara apabila perlu. Buat masa ini, saya rasa sudah tiba masanya memberi laluan kepada generasi muda," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram