MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kurang dari tempoh sebulan lagi, pelbagai janji dan manifesto dibuat oleh para pemimpin, demi survival perjuangan parti masing-masing.
Ini termasuk kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berjanji bahawa beliau akan memotong kadar gaji dan elaun Perdana Menteri, jika diberi mandat sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pengurangan dan pemotongan gaji juga dilakukan ke atas semua barisan Jemaah Menteri serta memberi jaminan saiz anggota Kabinet akan dikurangkan.
Bersetuju dengan kenyataan itu, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, individu yang berstatus menteri bukan sahaja memperoleh gaji bulanan, malah mereka juga diberi kemudahan lain termasuk perkhidmatan percuma tukang masak, tukang kebun, pemandu dan sebagainya.
Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyarankan, mungkin kadar gaji yang boleh dipotong kepada golongan menteri adalah sebanyak 20 hingga 30 peratus.
"Ini secara tidak langsung boleh jimatkan sikit duit yang dibelanjakan untuk mereka.
"Selain itu, ia juga boleh disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti golongan B40 atau disumbangkan kepada sektor pembangunan. Alhamdulillah kalau niat betul," katanya kepada Majoriti.
Abu Sofian menyambut baik mengenai pemotongan gaji Perdana Menteri dan jemaah menteri. — Facebook
Jika dilihat, soal beliau, golongan menteri mendapat pelbagai manfaat lain jika berdepan dengan pemotongan gaji, namun bagaimana pula dengan nasib para pekerja daripada sektor lain sekiranya mengalami nasib sama?
Abu Sofian berkata, beliau bimbang dengan nasib pekerja swasta kerana gaji mereka berkemungkinan sukar untuk dinaikkan, ditambah pula dengan nilai mata wang negara ini yang dilihat menyusut.
Apatah lagi, katanya, muncul dakwaan tentang perbalahan ketika pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.
Katanya, keadaan menjadi lebih buruk sekiranya golongan tersebut mendapat potongan gaji tanpa sebab munasabah.
Lantaran itu, Abu Sofian berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada pekerja swasta, manakala syarikat berkaitan tidak sepatutnya memikirkan keuntungan semata-mata.
"Saya rasa kerajaan boleh berbincang dengan pihak majikan untuk pelarasan balik (gaji) sebab harga barang pun sudah mahal dengan penambahan inflasi.
"Kalau boleh semua sektor mesti ada kesatuan (union). Oleh itu, kuasa untuk berunding dengan majikan jadi lebih kuat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram