PENDUDUK kawasan Vila Bagor Indah, Desa Ciparigi, Bogor Utara, Indonesia digemparkan dengan kejadian tembakan oleh seorang anggota polis ke atas tiga remaja baru-baru ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Bogor, Ferdy Irawan, kejadian itu berlaku apabila remaja terbabit tidak mengendahkan amaran polis dan cuba melarikan diri dengan menggunakan motosikal.
“Pihak polis terpaksa mengambil tindakan tegas kerana mementingkan keselamatan penduduk setempat,” katanya.
Sewaktu kejadian, difahamkan ketiga-tiga mereka memiliki parang dan sedang berjalan di sekeliling kawasan perumahan Vila Bogor Indah.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh orang awam kepada seorang anggota polis yang kebetulan sedang membuat rondaan di kawasan berhampiran.
Mendengarkan perkara itu, polis terbabit bergegas ke tempat kejadian dan melihat dua remaja bersama parang sedang meninjau sebuah rumah sementara seorang lagi menunggu di motosikal.
Polis itu kemudian pergi ke arah remaja di motosikal berkenaan dan bertanya apakah tujuan mereka.
Rakaman video tiga remaja yang mengalami kecederaan selepas ditembak oleh seorang anggota polis.
Tidak menjawab pertanyaan, salah seorang remaja kemudian mengacukan parang ke arah polis terbabit dan melarikan bersama dua rakannya menggunakan motosikal.
Polis itu kemudian mengejar suspek kira-kira 1 kilometer dan melepaskan dua das tembakan amaran sambil meminta mereka menghentikan motosikal.
Sayangnya, amaran itu tidak dipedulikan oleh tiga remaja berkenaan sehingga memaksa polis menembak ke arah mereka.
Selain terkena tembakan, ketiga-tiga remaja itu terjatuh dari motosikal dan mengalami kecederaan di badan.
Seorang remaja mengalami patah di kedua-dua pergelangan tangan, lutut kiri terkoyak dan ditembak pada pinggang tembus ke perut.
Sementara itu seorang mangsa lagi ditembak pada pinggang dan kecederaan pada lutut kiri.
Remaja ketiga pula mengalami kecederaan di lutut dan ditembak pada pinggang hingga tembus ke perut.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan bagi membantu siasatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram