KENAIKAN harga barangan dan kos sara hidup yang tinggi bukan sahaja memberi kesan kepada golongan bekerja malah menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa mengikat perut menahan lapar setiap hari.
Salah seorang pelajar di sebuah universiti awam di Selangor yang ingin dikenali sebagai Asifa, 22, berkata, dia terpaksa menahan lapar dengan makan sehari sekali untuk menempuh kehidupan seharian sebagai pelajar.
"Saya terpaksa makan sehari sekali kerana ingin menyimpan duit memandangkan kos sara hidup di sekitar Lembah Klang agak mahal dan hanya mampu mengeluarkan kos sebanyak RM10 untuk makanan setiap hari.
"Saya bukan datang dari keluarga senang, bapa saya seorang pemandu lori manakala ibu hanya suri rumah. Pendapatan bapa tidaklah besar untuk menampung enam adik-beradik di kampung di Sungai Buaya, Perak," katanya kepada Majoriti.
Kata Asifa, setiap semester dia perlu membayar yuran sebanyak RM2,000 dan jumlah tersebut agak besar memandangkan keluarganya tidak mempunyai pendapatan tetap.
"Saya menjual kuih pada setiap malam untuk menampung kehidupan seharian di universiti dan boleh dapat sehingga RM50 seminggu walaupun tidak banyak tapi sekurang-kurangnya dapat kurangkan bebanan kos harian.
"Saya juga mengambil inisiatif untuk bekerja di kedai runcit pada setiap cuti semester bagi membantu bapa mengurangkan beban keluarga," jelas pelajar jurusan Bahasa Melayu Profesional itu.
Asifa memberitahu, belajar sambil bekerja merupakan satu bebanan namun terpaksa diharungi untuk masa depan yang lebih baik.
"Pada awalnya, saya terlalu penat dan sukar untuk fokus belajar kerana memikirkan kos sara hidup yang tinggi selain terpaksa berhadapan situasi sama setiap hari.
"Namun, apabila memikirkan kesusahan keluarga menampung kehidupan kami adik-beradik, saya kuatkan semangat demi mengubah nasib keluarga suatu hari nanti," luahnya.
Pelajar tertekan dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi di sekitar Lembah Klang.— Sinar Harian
Sementara itu, pelajar kolej swasta di Shah Alam, Selangor yang ingin dikenali sebagai Nurul Huda, 20, berkata, dia pernah berfikir untuk berhenti belajar namun terpaksa ditangguhkan kerana tidak mahu mengecewakan ibu bapanya.
"Siapa yang tidak tertekan bila duit di dalam dompet hanya tinggal RM10 untuk hidup selama seminggu, nak minta duit dekat orang tua tidak sampai hati.
"Terpaksalah saya menahan lapar atau berkongsi makanan dengan kawan-kawan senasib. Saya juga bekerja di sebuah kedai makanan segera untuk mengurangkan kos sara hidup.
"Saya ada terfikir untuk berhenti dan bekerja sahaja supaya dapat membantu keluarga namun ibu menasihatkan saya untuk terus kuat hadapi cabaran," jelas pelajar Fakulti Peniagaan dan Perakaunan tersebut.
Tambah Nurul Huda, air matanya sudah kering akibat menangis setiap malam kerana terlalu penat memikirkan pelbagai masalah yang dihadapi.
"Hampir setiap malam saya menangis kerana terlalu penat selain prestasi pelajaran juga agak merosot akibat gagal fokus di kelas.
"Ibu bapa saya hanya bekerja sebagai penjual nasi lemak di kampung di Pendang, Kedah dan masing-masing berusia 66 serta 60 tahun. Walaupun di usia tua, mereka tetap bekerja untuk melihat kami tiga beradik berjaya di kemudian hari," jelasnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram