PAPAN tanda kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disimbah dengan cat berwarna biru dan merah pada pagi Isnin.
Setakat ini, dalang di sebalik kejadian vandalisme kediaman yang terletak di Seri Mentaloon,Jalan Anak Bukit, Pantai Johor, Alor Setar, Kedah itu masih lagi belum diketahui.
Berdasarkan laporan, cat berkenaan mengotori sebahagian besar papan tanda kediaman tersebut selain pokok hiasan berdekatan.
Malah, lampu kecil ‘spotlight’ yang terdapat berdekatan papan tanda berkenaan yang dipasang pada pintu pagar dan difahamkan baru sahaja ditukar, turut terkena tempias cat berkenaan.
Anggota polis forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian. — Sinar Harian
Terdapat bungkusan plastik dipercayai digunakan untuk mengisi cat sebelum dilemparkan ke arah pagar di lokasi berkenaan.
Pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan memasang pita garisan keselamatan bagi mengelak orang ramai mendekati kawasan terbabit.
Ketika kejadian, Sanusi difahamkan berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan negeri.
Sebagai rekod, pertikaman lidah antara Sanusi bersama pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sering menghangatkan perdebatan dalam kalangan penyokong Kedah dan JDT di media sosial.
Namun, tidak dapat dipastikan sekiranya warna cat merah dan biru itu memiliki perkaitan dengan warna pasukan dari selatan tanah air itu. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram