'Kenangan tak jual kat Kelana Jaya', Dechi Marcel kena troll bergambar di SSI


  • Podium
  • Jumaat, 14 Okt 2022

Foto Dechi Marcel ketika pasukan Kedah berkunjung ke SSI pada aksi Liga Super baru-baru ini. — Facebook

STADIUM Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor sememangnya dikenali dengan kualiti baik dari segi fasiliti termasuk penjagaan padangnya yang berkelas dunia.

Pernah dipilih sebagai Stadium Of The Year 2020, SSI menjadi venue aksi perlawanan Liga Super antara skuad Johor Darul Takzim (JDT) dan pasukan pelawat, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 11 Oktober lalu.

Pastinya, peluang menjejakkan kaki di SSI tidak dilepaskan pemain-pemain Sang Kenari untuk merakam gambar kenang-kenangan di stadium bertaraf dunia itu.

Ini termasuk pemain import KDA FC, Dechi Marcel yang pertama kali menyertai Liga Malaysia (Liga M) menerusi skuad Sang Kenari musim ini.

Gambar itu bagaimanapun dijadikan bahan ejekan atau 'troll' segelintir penyokong ekoran perbalahan luar padang antara pemilik pasukan JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak asing dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan.

"Bagilah diorang merasa... nak tunggu ada stadium sendiri bertaraf dunia macam JDT tak tahu bila... Nak bayar cukai LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) lagi, tak tahu lah dapat ke tak stadium macam JDT tu," tulis Eiffreesya Sya di komen Facebook Pahang is Dead 2.0.

"Pasti terdetik di hati kalau dapat bersama JDT lagi selesa hidup," ujar Rosli Anuar pula.

Mohd Yusri menambah, "Rugilah kalau tak ada gambar kenang-kenangan, bukan ada jual kat Kelana Jaya...bak kata Sanusi."

"Laa...salah ke dia nak bergambar, awat hang hati busuk sangat ni admin... Kalau aku pi JDT pun aku selfie juga... Apa masalahnya?," persoal Wahab D Faiz terhadap tohmahan yang dilontarkan segelintir penyokong.

Dalam perlawanan itu, JDT menewaskan KDA FC 4-1 pada aksi Liga Super di SSI.

Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu melebarkan rekod tanpa kalah kepada 21 perlawanan musim ini, selain mempertahankan status sebagai juara Liga Super lebih awal sebelum melabuhkan tirainya musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram