Surat tatatertib tak bermaksud hukuman dah dijatuhkan - KP Pendidikan


  • Primer
  • Ahad, 16 Okt 2022

Cikgu Mohd Fadli mendedahkan surat tindakan tatatertib yang dihantar kepadanya di media sosial.

SURAT tindakan tatatertib yang dihantar kepada cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak membawa maksud bahawa hukuman telah dijatuhkan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya juga sedar bahawa perkara itu tular di media sosial.

"Sebaliknya surat tersebut memaklumkan cikgu berkenaan mengenai dakwaan yang diterima oleh pihak berkuasa tatatertib serta keperluan Cikgu Fadli mengemukakan penjelasan bertulis.

"Lembaga tatatertib telah menerima 'refresentasi' (surat tunjuk sebab) daripada Cikgu Mohd Fadli pada 14 Oktober 2022," katanya pada satu video yang disiarkan di Facebook rasmi KPM pada Ahad.

Terdahulu, Cikgu Mohd Fadli yang juga guru sekolah rendah pada Sabtu telah mendedahkan surat daripada KPM yang boleh mengakibatkannya berdepan tindakan dibuang kerja.

Perkara itu telah mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang memaklumkan di media sosialnya untuk bertemu Cikgu Mohd. Fadli.

"Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh.Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa," kata Radzi pada Sabtu.

Dalam pada itu, Pkharuddin berkata lembaga tatatertib akan bersidang esok bagi membincang isu guru berkenaan.

"Prosiding tatatertib ini dibuat di bawah peraturan-peraturan pegawai awam kelakuan dan tatatertib 1993.

"Ianya diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat termasuklah diri saya sendiri," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram