[VIDEO] Hutang belum habis bayar punca suami isteri 'mandi' petrol


  • Benua
  • Sabtu, 15 Okt 2022

Tangkap layar video seorang isteri yang mencurah petrol ke atas badan suaminya.

GARA-GARA kecewa kediaman yang dibina berhampiran dengan sebuah longkang bakal dirobohkan, sepasang suami isteri melakukan cubaan membunuh diri.

Menerusi video tular, pasangan yang dikenali sebagai Sunil Singh dan Sona Singh itu, pada mulanya dilihat memegang sebotol minyak petrol berhampiran dengan longkang tersebut.

Kedua-duanya kemudian meminta orang ramai yang menyaksikan perkara itu supaya menjauhi mereka.

Apabila permintaan mereka enggan dituruti, si isteri bertindak mencurahkan minyak petrol tersebut ke atas badan suami dan tubuhnya.

Bersedia dengan kemungkinan itu, orang ramai yang berada di lokasi kejadian dengan pantas menyembur air ke atas pasangan tersebut.

Pada masa sama, orang ramai turut dilihat mengangkat pasangan tersebut jauh dari longkang berkenaan.

Tinggal lebih 15 tahun

Sementara itu, Sunil yang bekerja di firma swasta mendakwa, dia dan isterinya sudah tinggal di kawasan tersebut yang terletak di Krishnarajapura, dekat Bengaluru, India selama lebih 15 tahun.

Katanya, secara tiba-tiba mereka diberitahu telah melakukan pencerobohan dan tinggal secara haram di atas tanah tersebut.

Sunil berkata, dia juga sudah mendapatkan penjelasan tentang alasan pencerobohan itu daripada pihak berkuasa.

Namun, katanya, tiada siapa yang mampu menyelamatkan keadaan.

"Kami membuat pinjaman wang untuk membina rumah manakala hutang masih belum habis dibayar.

"Kami adalah penduduk kelas pertengahan dan mahu ketua menteri beri keadilan kepada kami," katanya sambil menambah bahawa rumah itu dibeli daripada pemilik hartanah terdahulu.

Difahamkan, pasangan itu membina sebuah rumah tiga tingkat di kawasan tersebut.

Proses perobohan masih diteruskan

Sementara itu, pihak berkuasa menegaskan bahawa, proses perobohan bangunan itu masih diteruskan, meskipun pasangan suami isteri itu diselamatkan.

Salah seorang pegawai yang enggan dikenali berkata, setakat ini hanya dua meter bangunan di kawasan tersebut berstatus haram.

"Kami juga sudah memberi notis kepada 12 pemilik rumah dan sebuah pangsapuri berhampiran.

"Pada Selasa, kami merobohkan enam bangunan haram yang dibina di atas longkang, manakala pada Rabu kami akan meneruskan proses perobohan ini, walaupun pasangan itu cuba mencipta drama bagi mengugut pegawai bertugas.

"Kami akan bekerjasama dengan polis untuk meneruskan tugas ini," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram