SEORANG wanita meminta pertolongan orang awam bagi mengesan pemandu sebuah kenderaan yang disyaki terlibat dalam kemalangan melibatkan adiknya pada awal pagi Sabtu di Lebuh Raya Persekutuan.
Wanita yang dikenali sebagai @NabilahAnafi turut memuat naik satu rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan kemalangan melibatkan adiknya itu.
"Adik aku terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan. Sekarang berada di Hospital Shah Alam, Selangor.
"Nasib baik tak teruk tetapi kawannya yang teruk.
"Anak Tan Sri berlumba langgar mereka. Aku baru saja hilang seorang adik. Takkan nak hilang seorang lagi kot," ciapnya.
Menurut Nabilah lagi, rakan kepada adiknya itu mengalami kecederaan parah dan mengalami pendarahan dalam kepala.
"Adik aku duduk di bahagian penumpang dan kawannya yang memandu.
"Kemalangan itu melibatkan kenderaan Range Rover yang berlumba," katanya.
Dalam perkembangan lain, seorang lagi ahli keluarga mangsa, @mdimrxn_ mendakwa, pemandu Range Rover yang melanggar kereta adiknya telah melarikan diri.
"Menerima berita daripada abang yang adik kembar saya terlibat dalam kemalangan malam tadi di Shah Alam Shell Batu 3.
"Pemandu yang melanggar adik saya dikatakan berlumba dan lari. Dengar cerita suspek dari keluarga korporat," tulisnya.
Dia turut berkongsi beberapa keping gambar yang menunjukkan keadaan kereta adiknya yang remuk dilanggar.
Difahamkan dalam kemalangan tersebut melibat 13 kenderaan yang lain dan ada di antara pemilik kenderaan sedang berlumba.
Kedua-dua ahli keluarga sudah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor.
Antara perkongsian gambar yang dimuat naik oleh @mdimrxn_ di Twitter miliknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian berkenaan dengan memaklumkan bahawa nahas tiga kenderaan itu melibatkan Toyota Vios, Range Rover dan Perodua Bezza.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Toyota Vios yang memandu di lorong tengah tiba-tiba dilanggar oleh Range Rover pada tepi sebelah kiri mengakibatkan kereta terbabit terbabas ke lorong kanan dan melanggar pembahagi jalan.
"Kereta jenis Bezza yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian belakang Vios tersebut.
"Kesemua mangsa terlibat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 APJ 1987.
Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul bin Suhiami di talian 011-31215697. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram