Tiada lagi kerjasama, PAS dan Umno akhirnya bawa haluan sendiri


  • Politik
  • Jumaat, 14 Okt 2022

PAS dan Umno memilih untuk tidak lagi bersama dalam PRU15.

PARTI PAS akhirnya membuat keputusan untuk tidak bersama Umno, sekali gus menjawab teka-teki mengenai kedudukan gagasan Muafakat Nasional (MN).

Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS pada Khamis, parti itu menetapkan pendirian untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebaik selesai mesyuarat itu jelas menunjukkan bahawa partinya dan Umno akan memilih haluan sendiri serta tidak akan bekerjasama dalam pilihan raya yang disifatkan terpenting ini.

Menerusi satu kenyataan media, Abdul Hadi berkata, keputusan untuk terus bersama PN adalah atas prinsip penyatuan ummah.

Beberapa jam selepas kenyataan rasmi daripada PAS, Barisan Nasional (BN) turut mengumumkan untuk terus bergerak solo dalam PRU15 nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, partinya juga sudah menjangkakan keputusan PAS untuk terus bersama PN khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkembangan terbaharu itu mengundang pelbagai reaksi terutama bagi mereka yang mahukan gagasan MN yang terbina dengan 'penuh air mata' pada September 2019 itu dikekalkan, meskipun ramai yang sudah menjangkakan keputusan PAS tersebut.

Antara yang terawal memberi reaksi terhadap keputusan yang dibuat Abdul Hadi itu adalah bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Mohd Khairuddin berkata, tiada siapa yang dapat menghalang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

Bagaimanapun mewakili harapan ahli bawahan, beliau masih berharap MN diteruskan melangkaui kerjasama politik pilihan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram