'Asyik recycle muka sama, magis Dollah Salleh tidak menjadi'


  • Podium
  • Jumaat, 14 Okt 2022

Rentak pasukan Sri Pahang FC dilihat berubah canggung di penghujung saingan Liga Super. — Facebook

SRI Pahang FC tidak dapat mengekalkan momentum kemenangan dalam lima perlawanan terakhir dengan hanya menang satu kali ketika bertemu Sarawak United FC pada 1 Oktober lalu.

Kekalahan terbaharu pasukan itu adalah di tangan Sabah FC selepas ditumpaskan 2-1 pada 12 Oktober lalu yang sekali gus mengukuhkan cengkaman Sang Badak di tempat kedua saingan Liga Super.

Skuad Tok Gajah sebelum itu hanya mampu mengikat seri Johor Darul Takzim dengan seri tanpa jaringan dalam perlawanan pada 7 Oktober selepas kedua-dua pasukan gagal memaparkan rentak permainan terbaik apabila hujan lebat melanda sehingga menyebabkan padang berlecak.

Episod kekalahan Pahang bermula selepas skuad kendalian Datuk Dollah Salleh bertemu Terengganu FC pada 21 Ogos yang menyaksikan pasukan itu tewas 1-2.

Pahang terus gagal mengutip mata berharga ketika berjumpa KL City pada 11 September apabila dibelasah 0-2.

Kekalahan demi kekalahan itu menyebabkan ramai penyokong Sri Pahang FC berasakan rentak pasukan di hujung saingan Liga Super tidak konsisten seperti ketika mula-mula Dollah mengambil alih pasukan pada 21 Julai lalu.

Bekas jurulatih kebangsaan itu dikatakan seolah-seolah kehilangan sentuhan magis selepas berjaya mengembalikan kekuatan Sri Pahang yang dilanda kemarau kemenangan pada awal musim.

"Aku sekarang dah join budak budak EA (Elephant Army) memboikot team Sri Pahang...selagi ada muka Doloh (Dollah) selagi tulah aku takkan sokong Pahang," tulis Panthera Tigris Jacksoni di laman Facebook.

307202507_5606141492779832_6367102136659488073_n

Dollah (kiri) dikatakan gagal mengekalkan momentum kemenangan Sri Pahang FC selepas mengambil alih skuad itu pada 21 Julai lalu. — Facebook

Seorang lagi penyokong Sri Pahang FC, Hazieerul Harun membalas hantaran itu dengan menulis, "Magis Pablo Dollah sudah pudar ke...?,"

Penyokong Pahang juga dilihat banyak mempersoalkan keputusan Dollah yang asyik menurunkan muka sama termasuk pemain berjersi nombor 13. Berdasarkan transfermarkt.com, pemain berjersi 13 ialah Ashar Al Aafiz yang bermain di posisi pertahanan (right back).

"Bagilah nombor 13 tu main sampai lebam," kata Eikugnim Hazeif.

"Lama sangat coach Dollah kat Pahang sampai habis idea nak bagi pemain... tukar-tukar la," kata Jazlan Sadli.

Faizal Abdul Latiff pula berkata, "Selagi ade nombor 13, Muslim Ahmad (jersi 24).. berhentikan sokong Pahang," tulisnya.

Di hantaran berbeza, Panthera Tigris Jacksoni pernah mengkritik permainan Ashar Al Aafiz yang dikatakan tidak cukup mantap jika dibandingkan dengan pemain liga amatur.

"Dollah akui pengalaman AFC jadi pemisah antara Pahang dan KL City. PBNP (Persatuan Bolasepak Negeri Pahang) patut pecat Doloh ni sebab alasan yang diberikan betul-betul tak masuk akal. Patutlah budak-budak EA pulaukan pasukan Pahang.

"Cepatlah sikit Tengku Muhamad ambil alih PBNP, tak larat dah nak dengar temberang puak ni. Pengalaman AFC tengkorak apanya kalau Ashar Al Afiz tu dengan pemain Manjung City pun inside out kena potong macam sayur," katanya.

Di ruangan komen, Muhammad Hafiz Omar juga melontarkan pendapat sama, "Dua-dua bek kiri dan kanan jadi lubuk dalam game," ujarnya.

Dollah Salleh dilantik ketua jurulatih interim Sri Pahang FC pada 21 Julai 2022 bagi menggantikan Christophe Gamel sehingga penghujung musim ini.

Berbaki satu perlawanan, Sri Pahang FC berada di tangga kelapan liga dengan 25 mata selepas mengharungi 21 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram