PENUBUHAN National Scam Response Centre (NSRC) membolehkan tindakan bersepadu dan segera bagi menyekat pengaliran dana selanjutnya serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku jenayah siber.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, NSRC menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Turut terlibat ialah institusi-institusi perbankan serta syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi menerima laporan daripada mangsa-mangsa penipuan siber," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Wan Junaidi, bagi membolehkan pihak NSRC mengambil tindakan yang berkesan khususnya untuk menyekat pengaliran dan pelupusan wang mangsa, mereka boleh terus menghubungi talian khusus bank masing-masing berkenaan laporan insiden penipuan siber (yang akan beroperasi 24 jam).
Jelasnya, mangsa juga boleh menghubungi talian NSRC iaitu 997 yang akan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam.
"Mangsa perlu memberikan maklumat berkaitan insiden penipuan siber yang dialami semasa menghubungi pihak bank atau NSRC.
"Ini termasuk maklumat komunikasi antara mangsa dengan suspek dan maklumat transaksi yang membawa kepada mangsa ditipu seperti nombor akaun dan nama bank mangsa dan suspek serta jumlah dana yang terlibat," katanya.
Dalam pada itu, Wan Junaidi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya apabila dihubungi individu yang mengaku sebagai pihak berkuasa atau apa-apa perkhidmatan yang diragui.
Ujarnya, NSRC dan agensi di bawahnya serta bank tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta maklumat perbankan seperti nombor PIN, TAC, OTP atau kata laluan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram