Salahkan diri sendiri, bukan saya atau Perikatan — Muhyiddin


  • Politik
  • Rabu, 12 Okt 2022

Muhyiddin menganggap tindakan Ismail Sabri menyalahkan orang lain sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

TINDAKAN menyalahkan jemaah menteri atas keputusan pembubaran Parlimen disifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya dan bukan menyalahkan pihak lain berhubung pembubaran Parlimen.

"Saya fikir ia sangat tidak bertanggungjawab sebagai Perdana Menteri menyalahkan saya atau jemaah menteri terhadap apa yang berlaku sekarang.

"Saya fikir dia tidak boleh menyalahkan siapa yang bertanggungjawab. Kita tidak mahu pertikaikan yang dipersembahkan kepada Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Agong telah bertindak atas budi bicaranya.

"Bukan dia kata dia setuju kerana ada desakan daripada sesiapa, kita minta seboleh mungkin jangan ada pilihan raya. Siapa sini suka pilihan raya masa banjir, tak ada kan," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kenyataan Ismail Sabri pada Selasa yang menyifatkan tindakan 12 menteri yang mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini menjejaskan keharmonian dalam kabinet.

Katanya lagi, tindakan itu hanya untuk menyuarakan suara rakyat dan wakil sidang kabinet kerana tidak ada perbincangan secara mendalam mengenai pembubaran Parlimen.

"Saya sebenarnya ada perjanjian dengan Datuk Seri Ismail Sabri waktu beliau menjadi Perdana Menteri, kandungannya kalau nak dibubarkan Parlimen sewajarnya bincanglah dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

"Kenapa kita minta itu, kerana kita merupakan komponen terbesar dalam kerajaan, adilkah? Ini tidak adil. Jadi bila dia tahu semua orang serang dia dari semua arah, dia kata Muhyiddin punya salah, ini menteri yang salah," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu sekali lagi menegaskan bahawa Ismail Sabri harus menyalahkan dirinya sendiri.

"Jangan salahkan kita, kita menyuarakan tanggungjawab parti, menjaga kebajikan rakyat, prihatin nasib rakyat, kita suarakan itu.

"Perdana Menteri pun walau apa-apa pun dia nak kata, tetapi dia perlu bertanggungjawab tentang apa dia dah lakukan sebab itu jangan salahkan orang, salahkan diri sendiri apa yang sudah dilakukan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram