Masuk bilik pelanggan tanpa izin, pengusaha hotel warga emas ‘mandi’ cat


  • Tular
  • Selasa, 11 Okt 2022

Tangkap layar sebuah hotel disimbah cat di Johor.

TIGA individu didakwa menjadi dalang dalam kejadian pukul dan simbahan cat di sebuah hotel di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram Johor sekitar pukul 3.30 pagi pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung insiden itu.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam bersama Balai Polis Desa Cemerlang menahan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun di Jalan Tanjong, Taman Desa Cemerlang pada pukul 11.30 pagi Ahad.

“Dua lagi lelaki tempatan berumur lingkungan 31 hingga 55 tahun ditahan di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai pada pukul 3.03 pagi Isnin.

“Semakan mendapati salah seorang daripada tiga individu yang ditahan mempunyai satu rekod jenayah, manakala dua lagi tiada rekod kesalahan lampau.

“Siasatan awal mendapati punca suspek memukul dan menyimbah cat ke atas mangsa kerana mangsa selaku pengusaha hotel memasuki bilik pelanggan hotel tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rakaman sebuah pemilik hotel disimbah cat di premis perniagaannya.

Kejadian tersebut menyaksikan pemiliknya lelaki warga emas berumur 62 tahun ‘bermandikan’ cat putih.

Berdasarkan video yang tular, sebahagian daripada lobi hotel turut disimbah cat putih lebih-lebih lagi di kaunter pendaftaran.

Lelaki tersebut juga duduk di jalan berhadapan dengan hotel berkenaan dengan wajah yang seakan kebingungan.

Mangsa bagaimanapun dilaporkan mengalami kecederana ringan.

Suspek ditahan reman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram