TINDAKAN 12 Menteri yang yang mengutuskan warkah dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang menyarankan Parlimen dibubarkan membuat Yang di-Pertuan Agong kecewa dengan perkembangan politik semasa.
Perdana Menteri (Sementara), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan pembubaran Parlimen adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar mengutuskan kepada Agong.
"Tindakan Menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan Agong sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran Kerajaan.
"Malah tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai Kerajaan.
"Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa Kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Ismail Sabri, kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia serta negara memerlukan Kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang.
Terdahulu, Ismail Sabri menerusi perutusan khasnya pada Isnin memaklumkan pembubaran Parlimen adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.
Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada Isnin juga berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.
"Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November 2022," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram