'Hint' makin jelas, Parlimen bubar hari ini?


  • Politik
  • Isnin, 10 Okt 2022

Desas-desus pembubaran Parlimen mungkin akan terjawab, selepas Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Agong pada Ahad. — Gambar hiasan/Berrnama

TEKA-TEKI pembubaran Parlimen mungkin akan terjawab pada Isnin, selepas beberapa petanda semakin jelas kelihatan sejak Ahad.

Persoalan berkenaan timbul apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad petang dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Difahamkan, pertemuan tersebut adalah bagi mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Ia dikuatkan apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi bayangan Parlimen akan dibubarkan pada Isnin.

"Difahamkan anak bulan telah kelihatan dengan jelas di Putrajaya. 'Raya' atau 'Pilihan raya'," katanya.

Terbaharu, giliran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor pula memberi gambaran sama tentang pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

"Dok rasa macam depa nak umum petang ini (Isnin)," tulisnya di laman Facebook.

Sebelum ini, Sanusi berkata, kerajaan Kedah kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini, sekiranya kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.

Beliau menyembah maklum perkara itu kepada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

"Saya telah sembah maklum kepada Tuanku (Sultan Kedah) bahawa kerajaan negeri tidak akan membubarkan DUN pada tahun ini sehingga bulan Mac 2023, selepas daripada itu (Mac tahun depan) bolehlah dipertimbangkan untuk (DUN) dibubarkan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram