Tidak timbul isu keabsahan kerajaan tangguh bubar Parlimen — Ismail Sabri


  • Primer
  • Ahad, 09 Okt 2022

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan hilang sokongan apabila Ahli Parlimen menarik sokongan hingga sokongan yang diterima kurang daripada 112 atau majoriti mudah. — Bernama

TIDAK timbul isu keabsahan kerajaan ketika ini susulan menteri Kabinet dari Perikatan Nasional mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhkan pembubaran Parlimen, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mengikut Perlembangaan Persekutuan, kerajaan akan hilang sokongan apabila Ahli Parlimen menarik sokongan hingga sokongan yang diterima kurang daripada 112 atau majoriti mudah.

"Kalau sokongan Ahli Dewan Rakyat masih lagi utuh, tidak ada perubahan, jadi tidak ada lah isu yang mengatakan kerajaan tumbang.

"Kalau menteri Kabinet tulis surat dia kata letak jawatan sekalipun, Kabinet masih berfungsi dan kerajaan masih berfungsi, tiada kesan pada keabsahan kerajaan kerana Ahli Parlimen masih memberi sokongan seperti biasa," katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, situasi kerajaan tumbang apabila Ahli Parlimen menarik sokongan boleh dilihat ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan seluruh Kabinet terpaksa meletakkan jawatan.

Ismail Sabri berkata, surat yang dihantar oleh menteri-menteri berkenaan adalah untuk meminta Parlimen tidak dibubarkan, namun kuasa untuk pembubaran adalah di bawah Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Ismail Sabri mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke majlis itu.

Pada Khamis, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) menyerahkan surat kepada Istana Negara bagi menyatakan ketidaksetujuan untuk Parlimen dibubarkan bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Kandungan surat itu agar PRU15 tidak dilaksanakan tahun ini sebaliknya menumpukan perhatian untuk persiapan menghadapi risiko banjir besar pada hujung November ini susulan fenomena Monsun Timur Laut.

Surat berkenaan adalah hasil mesyuarat menteri serta Ahli Parlimen PN selepas menghadiri Majlis Makan Malam Pengerusi PN dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Selangor, di Glenmarie Shah Alam pada Rabu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram