Agong, PM tidak bincang tarikh bubar Parlimen


  • Politik
  • Khamis, 06 Okt 2022

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Khamis. — Bernama

SUMBER rapat dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan pihak istana negara mengesahkan bahawa tarikh pembubaran Dewan Rakyat tidak dibincangkan semasa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

Menurut laporan Malaysiakini, sumber PMO memberi jawapan ringkas ketika ditanya sekiranya tarikh pembubaran dibincangkan Ismail Sabri dan Seri Paduka pada pertemuan kurang daripada satu jam tersebut.

"Tak dibincangkan", kata sumber tersebut.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin memberitahu Malaysiakini bahawa majlis menghadap hari ini hanyalah taklimat pra-Kabinet."

“Hari ni cuma (taklimat) pra-Kabinet. Isu-isu pra-Kabinet, mesyuarat mingguan,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Ahmad Fadil, beliau tidak mengetahui setiap perincian perkara yang dibincangkan dan pihak istana tidak menerima sebarang titah berhubung pembubaran Parlimen.

“Tuanku tak titah buat statem apa-apa kenyataan,” katanya sambil menambah ini berkemungkinan bermakna kerajaan akan meneruskan pentadbirannya seperti biasa dan membentangkan Bajet 2023 esok.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, dia akan membincangkan perkara itu dengan Yang di-Pertuan Agong sekiranya mempunyai masa untuk berbuat demikian.

Umno pada Jumaat lalu memutuskan bahawa pilihan raya umum akan datang mesti diadakan tahun ini, dan Ismail Sabri akan memohon perkenaan Seri Paduka untuk membubarkan Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Spekulasi bertiup kencang bahawa perdana menteri akan membubarkan Parlimen sebelum bajet dibentangkan.

Ismail Sabri selaku naib presiden Umno kini dilaporkan di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, dan sedang mengadakan perbincangan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin parti lain. — Malaysiakini

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram