MENYEDIHKAN. Begitulah perkataan yang sesuai digambarkan kepada sekumpulan lelaki beragama Islam yang bukan sahaja diikat pada tiang, malah disebat dengan rotan oleh anggota polis di depan khalayak ramai.
Menerusi video tular, orang ramai dilihat bersorak ketika anggota polis melakukan aksi kejam itu dalam kejadian di Kampung Unndhela, dekat Kheda, Gujarat, India pada Selasa.
Media antarabangsa melaporkan, lelaki Muslim itu ditahan selepas dituduh membantah sambutan perayaan Hindu di luar sebuah kuil yang menghadap sebuah masjid.
Polis mendakwa, kumpulan itu kononnya membaling batu pada majlis perayaan tersebut yang menyebabkan penahanan seramai 13 orang.
Ahli Parlimen, Asaduddin Owaisi menerusi hantaran di laman Twitter berkata, hukuman sebat yang dilakukan oleh pihak polis merupakan perkara biasa.
"Keganasan yang disasarkan terhadap umat Islam pula dianggap sebagai suatu 'keadilan'," sindirnya.
Sementara itu, parti politik The Trinamool Congress (TMC) pada Jumaat melaporkan kekejaman itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (NHRC).
Jurucakap TMC, Saket Gokhale menyifatkan perkara tersebut sebagai memalukan buat NHRC yang masih belum mengambil sebarang tindakan.
"Mereka tidak sepatutnya mempunyai alasan bahawa tiada siapa yang mengadu. Oleh itu, TMC yang akan memfailkan aduan tersebut," katanya menerusi hantaran dalam laman Twitter.
Selain itu, Gokhale juga berkongsi salinan laporan polis tentang penularan video berkenaan.
"Polis bertindak sebagai hakim untuk melancarkan kekejaman ke atas lelaki muda hanya kerana mereka beragama Islam.
"Ini sememangnya tidak berperikemanusiaan terhadap agama minoriti menjelang pengundian Dewan Undangan Negeri Gujarat," tulis laporan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram