Video tular pemandu tayang gari, polis tampil beri respons


  • 112
  • Ahad, 13 Feb 2022

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan pemandu sebuah kenderaan menayangkan gari ketika menukar laluan. — Facebook

PADA Ahad tular satu video memaparkan pemandu kereta menayangkan gari ketika melalui jalan raya di sekitar pusat bandar.

Video berdurasi 2 minit 20 saat itu menunjukkan pemandu kereta Proton Persona menurunkan tingkap dan menayangkan gari ketika menukar laluan.

Disebabkan tindakan 'angkuh' itu, rata-rata netizen mengecam pemandu tersebut kerana secara jelas telah melanggar peraturan jalan raya ekoran tidak memberikan lampu isyarat ketika memintas kereta di belakangnya.

VIDEO tular menunjukkan seorang pemandu mengeluarkan gari ketika menukar laluan. — Facebook

Begitupun tidak dapat dipastikan identiti individu terbabit sama ada orang awam atau anggota penguat kuasa.

Seorang pengguna Facebook, Hana Zaafarani Kasturi Perfume berkata, jika pemandu itu adalah anggota polis sekalipun, jangan guna jawatan tersebut untuk menakutkan orang awam.

"Dia pun manusia biasa tiada yang istimewa apabila dia seorang anggota polis. Jangan nak tunjuk samseng.

"Video dah viral apa tunggu lagi pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), jabatan polis kan di bawah KDN.

"Tolong ambil tindakan kepada anggota tersebut dengan segera sebelum nama baik pasukan PDRM busuk..apa anggota polis pun dah jadi samseng jalan raya ke nak buli orang awam," katanya.

komen 1 gari

KOMEN seorang pengguna Facebook berhubung kejadian tular itu.

Seorang lagi pengguna Facebook, Hise Saxo mendakwa, biasanya kereta Persona jenis SPANCO itu disewa oleh kerajaan untuk jabatan kerajaan.

"Namun tidak pasti jabatan mana yang pakai (kereta dengan plat nombor) V**5**. Yang pasti menjawab lah yang tunjuk gari tu," katanya.

komen gari 2

KOMEN seorang pengguna Facebook berhubung kejadian tular itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, insiden membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Tun Razak itu kini dalam siasatan pihaknya.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah menjalankan pengesanan ke atas individu yang terlibat sebaik sahaja video tersebut tular.

"Pihak polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kita nasihatkan orang awam agar tidak melakukan apa-apa perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada IPD Dang Wangi ditalian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Video tersebut menerima 13,000 tontonan di Facebook Majoriti setakat 6.30 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram