MANGSA banjir kilat di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor, Ipoh, Perak meningkat kepada 93 orang setakat pukul 8 pagi pada Rabu berbanding 55 orang yang direkodkan Selasa malam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai banjir akibat hujan lebat itu pada pukul 10.05 malam.
"Sebanyak 33 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Klebang iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi banjir dan paras air semasa adalah kira-kira setengah meter," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, pihaknya sedang memantau lokasi terbabit dan kawasan Ulu Chepor yang turut dinaiki air.
Pada Selasa, hujan lebat yang berterusan sejak petang hingga tengah malam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.
Menerusi beberapa gambar tular di media sosial, air boleh dilihat naik sehingga menghampiri paras bumbung sekali gus memaksa penduduk berpindah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram